Sara hidup tinggi, pelakon terkejar-kejar ke banyak lokasi, kata Mahmud Ali

Mahmud Ali Basha, 46, melihat syarikat penerbitan yang bertambah membuka lebih peluang kepada pelakon baru tetapi ramai yang pandang ringan soal disiplin. — Foto ihsan Facebook/Mahmud Ali Basha
Mahmud Ali Basha, 46, melihat syarikat penerbitan yang bertambah membuka lebih peluang kepada pelakon baru tetapi ramai yang pandang ringan soal disiplin. — Foto ihsan Facebook/Mahmud Ali Basha

KUALA LUMPUR, 3 Jul — Ramai anak seni baharu terpaksa menerima beberapa tawaran berlakon sekali gus demi menangani kos sara hidup yang makin tinggi, kata dramatis terkenal.

Mahmud Ali Basha, 46, berkata syarikat penerbitan yang bertambah membuka lebih banyak peluang kepada mereka, namun sayangnya ramai yang mengambil ringan soal disiplin.

“Sekarang lebih banyak syarikat produksi, jadi mereka lebih peluang tetapi mereka terpaksa lari ke sana-sini.

“Kita juga lihat mereka kurang fokus kepada satu-satu kerja tetapi kita kena faham tuntutan mereka sekarang.

“Ini kerana kos sara hidup masih tinggi. Hendak beli rumah sekarang berapa harganya? Dulu hanya berapa sahaja nilainya,” katanya kepada ProjekMMO.

Pelakon drama “Seindah Takdir Cinta” juga melihat perbezaan ketara di antara pelakon sekarang berbanding zaman awal penglibatannya dalam bidang seni.

Mahmud juga berkata kurang ruang dan peluang untuk menonjolkan bakat menjadikan pelakon lama amat mementingkan disiplin dalam bekerja.

“Dulu hendak jadi pelakon bukan senang, kena sabar dan kena tunggu ke tahap tertentu. Tetapi sekarang ini, asal ada rupa boleh ke depan.

“Sebab itu apabila senang sangat masuk industri, itu yang mungkin buatkan mereka ambil mudah soal disiplin dan lain-lain.

“Tetapi bukan semua, ada yang fokus dan komited sebab artis sekarang ramai. Masalah itu perkara biasa,” katanya, pemilik Restoran Dapur Sarawak.

Artikel Berkaitan