Sedekad jadi cef, Anis Nabilah masih tak berani masak rendang Raya

Dalam keluarga cef selebriti Anis Nabilah, rendang akan disediakan oleh ibu beliau. ― Foto oleh Choo Choy May
Dalam keluarga cef selebriti Anis Nabilah, rendang akan disediakan oleh ibu beliau. ― Foto oleh Choo Choy May

SUBANG JAYA, 6 Jul — Walaupun sudah 10 tahun menempa nama sebagai cef selebriti, namun Anis Nabilah Umaruddin belum cukup meyakinkan keluarganya untuk menyediakan rendang di Hari Raya.

Anis, 30, berkata walaupun sudah biasa menyediakan rendang namun ibu yang akan mengambil tugas itu pada Aidilfitri jika tidak mahu adik beradik lain memberontak.

“Rendang disediakan mak saya. Saya tak pernah masak rendang di rumah untuk raya. Saya masak rendang masa lain bukan masa Raya. Raya tugas mak saya.

“Kami hanya bergilir-gilir kacau rendang yang hampir 24 jam. Begitu juga tiada adik beradik yang akan masak rendang tetapi jika saya yang masak, mereka akan menberontak dan tak mahu makan.

“Ini kerana air tangan dan tradisinya mak yang sediakannya,” katanya kepada ProjekMMO baru-baru ini.

Anak keempat daripada lapan beradik ini berkata Aidilfitri akan menjadi medan terbaik bermaaf-maafan walaupun abang tunggalnya sudah dijemput menghadap Ilahi. 

Pengacara rancangan Eat Clean with Anis juga berkata kebanyakan adik beradiknya handal memasak di dapur dan ini memberi peluang pelbagai juadah disediakan.

“Biasanya kena ada ketupat palas, kuah kacang dan lontong untuk sarapan. Adik beradik saya semua pandai masak. Jadi kami bergilir-gilir.

“Tengahari nasi briyani dan masakan Pulau Pinang seperti ayam ros, kari kambing, dalca dan hidangan makan malam,” katanya.

Anis Nabilah tidak memberikan sebarang had umur untuk mendirikan keluarga. ― Foto oleh Choo Choy May
Anis Nabilah tidak memberikan sebarang had umur untuk mendirikan keluarga. ― Foto oleh Choo Choy May

Anis berkata kesibukannya mengendali rancangan masakan di televisyen membuatkan soal jodoh tidak menjadi keutamaan.

Katanya, tiada sasaran had umur untuk menuju ke gerbang perkahwinan kerana pada masa ini banyak masa perlu diberikan bersama keluarga.

“Saya selalu disuruh kahwin. Masa saya banyak dihabiskan untuk kerja dan keluarga. Kahwin bukan dalam perancangan.

“Untuk apa merancang? Bila saya 20 tahun, saya sasar umur 25 tahun berkahwin tetapi saya masih tak kahwin. Saya percaya pada jodoh. Kita tak boleh rancang.

“Saya tidak memilih. Susah sekarang kerana ibu bapa sudah tua dan saya selalu bersama mereka. Saya kehilangan abang dua bulan lalu. Jika saya kahwin sekarang, susah untuk beri masa kepada mereka,” katanya.

Ditanya ciri-ciri lelaki pilihan, Anis berkata calon suaminya perlulah seorang yang jujur, sabar, mempunyai pendirian dan berwawasan.

Katanya, aspek fizikal tidak menjadi keutamaan kerana apa yang penting bertanggungjawab terhadap keluarga. 

“Saya tak cari yang kaya. Tak kisah berapa banyak wang tetapi yang penting dia selesa untuk membesarkan keluarga.

“Saya juga tak lihat kriteria fizikal seperti kurus, tegap, maskulin, tinggi atau bangsa,” katanya.