Rating tinggi, Michael Ang tumpu drama adaptasi novel (VIDEO)

Michael Ang berkata cerita asal atau adaptasi novel tidak menjadi isu kerana apa yang lebih utama adalah jalan cerita mantap. — Foto ihsan Instagram/Michael Ang
Michael Ang berkata cerita asal atau adaptasi novel tidak menjadi isu kerana apa yang lebih utama adalah jalan cerita mantap. — Foto ihsan Instagram/Michael Ang

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Mempertahankan lambakan drama adaptasi novel di kaca televisyen, pengarah Michael Ang memilih karya demikian kerana mahu mendapat rating tontonan tinggi.

Mengakui novel mempunyai pengikutnya tersendiri, Michael berkata tiada guna berusaha keras membuat penggambaran jika drama tidak mendapat sambutan hangat.

“Novel sudah ada pengikut. Jadi walau macam mana pun, stesen TV tetap hendak mengejar rating. Saya tidak tahulah orang lain, macam saya buat sesuatu mengejar rating.

“Buat apa buat drama dan kerja keras, penggambaran hari-hari tetapi tiada orang nak tengok?” soal pengarah drama Suri Hati Mr Pilot ketika dihubungi ProjekMMO.

Michael diminta mengulas kenyataan pelakon Ayda Jebat yang menggesa penerbit mengembalikan skrip asal dan tidak tertumpu menggunakan drama adaptasi novel.

“Kalau mengikut fikiran saya, sudah tiba masanya kita kembali menghasilkan naskhah drama atau filem yang bukan diangkat daripada novel.

“Karyawan seni seperti penulis skrip dan penerbit ada kuasa untuk mengembalikan kegemilangan drama yang dihasilkan atas ilham sendiri,” kata Ayda seperti dilaporkan Berita Harian.

Michael berkata cerita asal atau adaptasi novel tidak menjadi isu kerana apa yang lebih utama adalah jalan cerita mantap.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, penerbit harus bijak mengolah skrip terutama naskhah yang diambil daripada novel.  

“Saya tidak kisah sama ada adaptasi novel atau tidak. Kalau cerita itu bagus, ia memang bagus.

“Tetapi peluang untuk drama adaptasi berjaya adalah lebih tinggi daripada skrip asal. Cerita itu orang nak kutuk kata tajuk busuk, suka hati sayalah. Janji mendapat rating.

“Drama adaptasi penulis banyak naratif, jadi kena pandai olahkan watak. Ia memberikan satu kehidupan kepada pembaca novel.

“Kita baca novel tetapi tetap kena olah balik. Tidak boleh ikut novel bulat-bulat nanti bosan. Saya arahkan pun bosan,” katanya.

Bagaikan satu fenomena, adaptasi novel ke drama mahupun filem menjadi trend beberapa tahun kebelakangan ini.

Pelbagai novel dilakonkan untuk menjadi santapan penonton antaranya Rindu Awak 200%, Tundukkan Playboy Itu dan Seindah Takdir Cinta.

Drama 7 Hari Mencintaiku siaran TV3 baru-baru ini pula mendapat 13 juta tontonan seluruh negara.

Bagaimanapun, pengarah filem tersohor Datuk Yusof Haslam tidak memilih karya sedemikian kerana lebih gemar membuat skripnya sendiri.

“Baca novel saya minat tetapi saya tidak mahu terperangkap dengan idea novel.

“Saya mengarah dari dulu, masa drama televisyen, kebanyakan daripada tulisan sendiri,” katanya kepada ProjekMMO Ogos lalu.

Pemilik Skop Production sebaliknya menggemari drama genre jenayah dan penyiasatan polis serta enggan mengikut trend adaptasi drama.

Artikel Berkaitan