Minat basikal, bekas peguam bawa pelancong kenali Malaysia

Elena Shim (kiri) bersama rakan basikalnya dari luar negara. Dia sanggup meninggalkan bidang guaman dan menawarkan pakej  berbasikal kepada pelancong. — Foto Bernama
Elena Shim (kiri) bersama rakan basikalnya dari luar negara. Dia sanggup meninggalkan bidang guaman dan menawarkan pakej berbasikal kepada pelancong. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Jika wanita lain bergaya formal dan feminine ke pejabat tetapi tidak bagi Elena Shim, 29 tahun.              

Tiada alat solek yang dioles di wajahnya dan tubuhnya hanya ditutupi kemeja-T 'dry fit' beserta seluar basikal ketat.              

Setelah topi keselamatan dipakai dan beg disandang kemas di bahu, beliau akan memulakan perjalanan dengan menunggang basikal seawal 8.30 pagi dari rumahnya di Seksyen 17, Petaling Jaya menuju ke ibu kota, Kuala Lumpur.              

Rutin itu yang dilakukan sejak tiga tahun lepas. Hanya 30 minit diperlukan untuk jarak sejauh 11.4 kilometer dari rumahnya ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.              

Sekiranya menaiki kereta terutama waktu puncak sebegitu, sekurang-kurangnya 45 minit hingga satu jam masa diperlukan untuk sampai ke sana.              

"Sebelum ini banyak masa dihabiskan di atas jalan raya sebab kesesakan tetapi tidak lagi sejak menggunakan basikal.

"Masa dan duit lebih jimat, fikiran dan jiwa terasa lapang dan bahagia.              

"Apabila kayuh basikal, saya rasa macam terbang bebas. Saya rasa lapang.

"Apabila angin kena pada muka, saya rasa macam semua masalah hilang, terbang dibawa angin," menurut Elena, bekas peguam yang kini menyediakan perkhidmatan membawa pelancong menikmati keindahan Malaysia dengan menaiki basikal.                

Minat              

Sungguhpun banyak kemudahan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam namun isu kesesakan lalu lintas di Lembah Klang belum lagi menemui jalan penyelesaian.              

Setiap hari tidak kurang tiga juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur dan jumlah itu bertambah dengan penambahan kenderaan setiap tahun.              

Menggunakan basikal antara alternatif yang boleh membantu mengurangkan masalah kesesakan sepertimana bandar-bandar utama dunia di Beijing, Amsterdam dan United Kingdom (UK).              

Namun mungkin tidak ramai yang berani menggunakannya terutama untuk memasuki pusat bandar disebabkan bimbang dengan keselamatan di jalan raya dan cuaca panas di Malaysia.              

Menurut Elena selain berkongsi jalan raya bersama kenderaan yang jauh lebih besar, aspek pemanduan rakyat Malaysia yang suka memandu laju dan menggunakan telefon bimbit menyebabkan mereka yang berhasrat menggunakan basikal terpaksa berfikir seribu kali.              

Menganggapnya sebahagian asam garam yang perlu dilalui, pemegang ijazah undang-undang dari Universiti Northumbria, Newcastle gembira dengan gaya 'sempoi' yang dipilih dan tidak kisah apabila badannya berpeluh setiap pagi dan petang dengan menaiki basikal.                

Apabila perlu menghadiri mesyuarat atau majlis-majlis tertentu, beliau akan menukar seragam basikalnya dengan pakaian yang sesuai.              

"Memang nampak rumit sebab terpaksa tukar baju dan sebagainya... tetapi saya rasa gembira dan tidak ada masalah dengannya," katanya yang pernah bekerja di firma guaman di Jalan Raja Chulan.                              

Kenal pasti jalan                                              

Tiga tahun menjadikan basikal sebagai pengangkutan, dilalui penuh cabaran serta pelbagai kenangan pahit dan manis buat Elena.              

Sebelum mengambil keputusan berbasikal, beliau mengkaji dahulu jalan-jalan yang boleh menghubungkan dari rumahnya ke Kuala Lumpur.              

Elena membuat beberapa kali tinjuan dan percubaan melalui jalan yang dipilih untuk kenalpasti halangan dan jalan alternatif yang boleh diambil sekiranya jalan berkenaan tidak dapat dilalui.              

"Dari rumah, saya akan melalui kawasan taman perumahan sebelum memasuki ke kawasan Universiti Malaya di pintu KL dan seterusnya masuk ke Jalan Pantai Baharu. Seterusnya ke Jalan Bangsar dan melalui KL Sentral dan Pasar Seni LRT.              

"Laluan itu paling selamat dan  mudah untuk pengguna basikal seperti saya yang akan mengambil masa antara 30 hingga 40 minit setiap hari bergantung juga kepada aliran trafik dan kelajuan saya," katanya.              

Setelah jatuh cinta dengan pengangkutan dua roda itu, Elena mula bercadang mengembangkan lagi aktiviti berbasikalnya.              

Beliau mempersiapkan diri dengan mengkaji laluan yang menarik bagi melancarkan aktiviti membawa pelancong mengayuh basikal.              

Semasa masih bekerja sebagai peguam, beliau telah mula menceburi bidang pelancongan sebagai pemandu pelancong separuh masa.              

"Hujung minggu saya bekerja sebagai pemandu pelancong. Dari situ saya belajar membina keyakinan dan cara mengendalikan pelancong yang datang.              

"Setelah yakin dan semakin berpengalaman dalam bidang ini saya mula memikirkan untuk bergerak sendiri dengan membuka perniagaan di dalam bidang ini secara serius," katanya yang meninggalkan bidang guaman empat tahun lepas.              

Seperti yang dijangka, keputusan meninggalkan bidang guaman mengejutkan keluarganya yang berasal dari Bukit Padang, Sabah.              

Namun setelah melihat kesungguhan dan minat mendalam Elena dalam berbasikal, keluarga terutama ibunya akur dan menyokong usahanya.

Tawaran pakej  

Elena Shim, 29, (kiri) ketika membawa pelancong asing menjelajah sekitar ibu kota dengan mengayuh basikal. — Foto Bernama
Elena Shim, 29, (kiri) ketika membawa pelancong asing menjelajah sekitar ibu kota dengan mengayuh basikal. — Foto Bernama

Bermula dengan dua buah basikal, Elena mula mempromosikan pakej berbasikalnya kepada pelancong sekitar April tahun lepas.              

Meskipun serba kekurangan ketika itu dengan jumlah basikal yang sedikit serta kekurangan modal untuk promosi, perlahan-lahan beliau bertatih membina jenama "Bike With Elena" dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan blog miliknya (bikewithelena.wordpress.com)              

Sebagai pelopor yang menawarkan pakej meneroka keunikan bandar dan luar bandar dengan berbasikal, khidmatnya kini semakin diterima dan mendapat maklum balas yang sangat positif daripada pelancong.              

Sebagai permulaan, empat pakej ditawarkan iaitu berbasikal sambil meneroka kawasan Brickfileds sejauh 7 kilometer, berbasikal di Kuala Lumpur sejauh 10 kilometer, di Putrajaya sejauh 30 kilometer dan menikmati keindahan kampung di Sungai Janggut, Kapar, Klang yang juga sejauh 30 kilometer.              

Antara keempat-empat pakej berkenaan, berbasikal di Sungai Janggut yang paling mendapat sambutan daripada pelancong, katanya.              

"Pelancong tertarik dengan kehidupan kampung. Daripada maklumbalas yang diterima mereka cukup meminati suasana kampung yang mendamaikan serta makanan yang enak-enak," katanya yang kini sudah mempunyai lapan buah basikal yang sesuai digunakan untuk perjalanan jauh dan di dalam bandar.              

Berkongsi pengalaman pertama membawa pelancong berbasikal, beliau tersenyum mengingatkan kembali kenangan itu.              

Membawa seorang pelancong wanita dari UK, Elena berkata banyak yang dipelajari daripada pengalaman pertama itu.              

Berbasikal lebih 60 kilometer meneroka Putrajaya dan Cyberjaya adalah satu perjalanan yang sangat jauh dan meletihkan sehingga pedal basikal berlipat yang dikayuh wanita dari UK itu patah.              

Pelancong dari UK sangat tertarik dengan aktiviti berbasikal kerana mereka sudah biasa dengan aktiviti sedemikian ketika melancong.              

"Antara maklum balas beliau, agar saya memendekkan perjalanan dengan hanya di sekitar Putrajaya sahaja dan sebanyak mungkin elak daripada mengguna jalan raya yang sibuk.

"Pandangan itu saya ambil dengan hati terbuka untuk memperbaiki khidmat yang diberikan," katanya yang banyak mempromosikan pekej yang ditawarkan dalam laman sesawang Trip Advidor yang menjadi rujukan pelancong seluruh dunia.

Tingkatkan kemudahan                                 

Elena bergambar bersama pelancong di ibu kota Kuala Lumpur. — Foto Bernama
Elena bergambar bersama pelancong di ibu kota Kuala Lumpur. — Foto Bernama

Menurut Elena, potensi menjadikan aktiviti berbasikal sebagai satu daripada produk pelancongan terutama di Kuala Lumpur sangat besar dan tidak mustahil akan terus berkembang.

Namun prasarana seperti laluan berbasikal, kemudahan meletakkan basikal serta aspek keselamatan basikal amat kurang dan perlu dipertingkatkan.              

Di pusat bandar Kuala Lumpur sendiri terdapat laluan berbasikal yang dicat dengan warna biru, namun tidak diselanggara dengan baik hingga warnanya pudar.                

"Ada juga laluan berbasikal yang tidak dapat dilalui seperti di hadapan Pasar Seni kerana ada kerja-kerja mengorek di laluan basikal dilakukan.              

"Selain itu cabaran lain bagi mereka yang berbasikal apabila lampu isyarat rosak.

"Amat sukar untuk kami melintas jalan kerana kereta dan motosikal sangat laju dan sukar memberi laluan kepada kami," katanya.           

Beliau yang terlibat dalam program Local Agenda 21 Kuala Lumpur yang melibatkan komuniti, swasta dan DBKL bagi menaikkan taraf Sungai Bunus merancang untuk menghidupkan aktiviti berbasikal di sepanjang laluan sungai berkenaan.              

Mewakili komuniti, Elena berharap lebih banyak jaringan laluan daripada 11 buah daerah di Kuala Lumpur dapat dihubungkan ke Sungai Bunus dan seterusnya memasuki ke pusat bandar.            

"Jika tercapai, ia akan memberi manfaat kepada semua dan secara tidak langsung menghidupkan kembali Sungai Bunus sebagai nadi sungai.

"Tidak mustahil akan menjadi satu tarikan pelancong untuk berbasikal di Kuala Lumpur," katanya.              

Selain itu, Elena terlibat dalam program 'Klinik Basikal' di Universiti Malaya (UM) untuk mengajar pelajar dan orang umum yang berminat membaiki basikal pada setiap Sabtu minggu pertama bertempat di Treehouse, Tasik Varsiti, UM.              

Menjadi satu aktiviti baharu, beliau berharap ramai lagi akan menggunakan basikal sebagai pengangkutan di dalam kampus dan menambah populasi penunggang basikal.             

Dengan adanya pengguna basikal maka prasarana dan infrastruktur basikal boleh disediakan dan dipertimbangkan dengan lebih banyak lagi oleh pihak yang berkenaan, katanya. — Bernama