
KUALA LUMPUR, 7 Jun ― Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Jho Low tampil membantu siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil juga diminta membantu siasatan SPRM.
Low, 37, yang memiliki kad pengenalan bernombor 811104-07-5701 mempunyai alamat terakhir di 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Bagaimanapun beliau dilaporkan berada di China atau Taiwan, dua negara yang tiada perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
Nik Faisal Ariff Kamil, 47, yang memiliki kad pengenalan bernombor 710304-10-6303 mempunyai alamat terakhir di:
No 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor dan No 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor.
SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dua individu ini agar menghubungi pegawai penyiasat Rosli Husain di talian 03-8870 0529 atau 010 318 7757.
Orang ramai juga boleh menghubungi emel beliau roslihusain@sprm.gov.my atau pejabat SPRM terdekat, kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu menteri dalam negeri berkata pihak berkuasa mempunyai maklumat bahawa Low antara penjenayah utama skandal (1MDB), lapor Bernama.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan tegas mengikut undang-undang harus disegerakan bagi mengheret Low ke muka pengadilan.