Proton milik China, Malaysia mahu kereta nasional baru

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Proton bukan lagi kereta nasional kerana firma China Geely adalah pemilik saham syarikat itu. — Foto oleh Firdaus Latif
Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Proton bukan lagi kereta nasional kerana firma China Geely adalah pemilik saham syarikat itu. — Foto oleh Firdaus Latif

TOKYO, 11 Jun — Malaysia akan bekerjasama dengan negara serantau bagi memulakan kereta nasional baru, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap di sesi dialog di sini hari ini, beliau berkata Proton bukan lagi kereta nasional kerana firma China Geely adalah pemilik saham syarikat itu.

“Aspirasi kita sekarang ialah untuk memulakan sebuah lagi projek kereta nasional, mungkin dengan kerjasama negara serantau,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dalam dialog itu sempena Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-24 hari ini, Dr Mahathir sedia kerjasama dan kepakaran pembuatan dari Thailand dan Jepun.

“Kita mungkin terpaksa mengharapkan rakan asing pada permulaan,” katanya menjawab soal potensi pembangunan industri baru Malaysia dan pelaburan asing.

“Tetapi lambat laun kita berharap pekerja tempatan sendiri dapat menguasai teknologi yang diguna pakai,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu lagi.