Tun M cadang had umur pengundi seawal 18 tahun

Cadangan menurunkan umur pegundi berdaftar seawal 18 tahun boleh dipertimbangkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. ― Foto oleh Ahmad Zamzahuri
Cadangan menurunkan umur pegundi berdaftar seawal 18 tahun boleh dipertimbangkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. ― Foto oleh Ahmad Zamzahuri

PUTRAJAYA, 21 Jun ― Kerajaan Pakatan Harapan mungkin membuka peluang untuk rakyat mengundi seawal umur 18 tahun, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata kesedaran politik ditunjukkan golongan muda pada pilihan raya umum lalu, yang membawa kejatuhan Barisan Nasional (BN) selepas enam dekad, adalah kuat.

“Saya rasa berbaloi untuk mempertimbangkannya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malay Mail.

“Kita ikut amalan negara lain. Merendahkan umur dari 21 kepada 18 tahun satu langkah besar, tetapi ia satu pengiktirafan kerana rakyat semakin bijak dan boleh membuat pertimbangan.”

Antara negara yang membenarkan pengundi berdaftar seawal 18 tahun adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan Iran.

Sementara di Asia Tenggara, negara Thailand dan Filipina sudah melaksanakannya.

Di Malaysia, umur matang adalah 18 tahun, bermaksud seseorang individu boleh memandu, berkahwin, menandatangani kontrak dan boleh dibicarakan di mahkamah.

Namun Artikel 119(1) Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan rakyat yang mencecah umur 21 tahun sahaja layak mengundi.

* Baca seterusnya di Malay Mail.