Rosmah kali ketiga ke SPRM beri keterangan

Datin Seri Rosmah Mansor dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram. — Foto oleh Yusof Mat Isa
Datin Seri Rosmah Mansor dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram. — Foto oleh Yusof Mat Isa

PUTRAJAYA, 3 Okt — Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini untuk diambil keterangan buat kali ketiga.

Rosmah tiba di SPRM pada kira-kira 10.45 pagi.

Semalam, media melaporkan Rosmah perlu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi membantu siasatan suruhanjaya itu.

Kali pertama beliau hadir di SPRM ialah pada 5 Jun lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 September lalu, Rosmah sekali lagi dipanggil oleh SPRM dan memberi keterangan hampir 13 jam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Pada 20 September lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM  Datuk Seri Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat. — Bernama