Sakit teruk, Pemuda Umno desak Adun Pilah letak jawatan

Exco Negeri Sembilan Mohamad Nazaruddin Sabtu menghidap sakit misteri, didakwa terkena ilmu hitam. ― Foto ihsan Facebook/Mohamad Nazaruddin Sabtu
Exco Negeri Sembilan Mohamad Nazaruddin Sabtu menghidap sakit misteri, didakwa terkena ilmu hitam. ― Foto ihsan Facebook/Mohamad Nazaruddin Sabtu

PORT DICKSON, 3 Nov — Wakil rakyat kerusi negeri Pilah didesak melepaskan jawatan ekoran tahap kesihatannya didakwa semakin teruk, kata Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Ketua Pemuda Negeri Sembilan mendakwa Mohamad Nazaruddin Sabtu tidak mampu berkhidmat dan menjalankan tanggungjawab dengan baik di kawasannya, lapor Utusan Online.

“Berdasarkan maklum balas diterima penduduk, beliau tak mampu lakukan tugas dengan baik,” katanya selepas program santai bersama Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Sehubungan itu, Pemuda Umno Negeri Sembilan menggesa beliau meletakkan jawatan akibat masalah kesihatannya yang semakin teruk,” katanya lagi, malam tadi.

Mohd Zaidy berkata isteri exco kesenian, kebudayaan dan adat istiadat Melayu dan bekas pembantunya turut mengesahkan situasi beliau kepada media sebelum ini. 

Mohamad Nazarudin dilapor menafikan akan melepaskan jawatannya, sebaliknya diarah Menteri Besar Aminuddin Harun supaya meneruskan rawatan sehingga sembuh.

Laporan media pada 25 Oktober lalu menyebut beliau mengalami penyakit misteri termasuk kemungkinan terkena ilmu hitam tetapi doktor menyifatkannya sebagai tertekan.

Pada pilihan raya umum lalu, calon PKR itu menang kerusi DUN itu menewaskan calon BN Datuk Norhayati Omar dan calon PAS Ahmad Fadzil Othman dengan majoriti 1,806 undi.