Umpil mesin token kedai dobi, pramugara direman empat hari

Polis menahan pramugara dan teman wanitanya di Damansara Perdana kerana disyaki mencuri wang mesin token sebuah dobi. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri
Polis menahan pramugara dan teman wanitanya di Damansara Perdana kerana disyaki mencuri wang mesin token sebuah dobi. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri

PETALING JAYA, 11 Jun — Seorang pramugara direman empat hari bermula hari ini selepas dipercayai terlibat memecah masuk kedai dobi di Kuala Terengganu pada Jumaat.

Suspek, 39, ditahan bersama teman wanitanya di Damansara Perdana di sini tengah hari semalam, lapor Harian Metro.

“Mangsa yang menyusul ke kedai dobi kira-kira jam 8.30 pagi mendapati dinding sebelah mesin basuh sudah berlubang.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik mesin tukar token pula mendapati terdapat kesan umpil pada mesin dan wang serta token di dalamnya hilang.

“Pemilik dobi mendapati wang daripada mesin token itu dianggarkan berjumlah RM1,000 hilang selain kerugian RM29,000 terhadap kerosakan mesin token, modem internet CCTV dan kerosakan dinding,” kata sumber kepada akhbar itu.

Pemeriksaan lanjut mendapati suspek lelaki memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada Mei lalu dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, menurut sumber itu lagi.

Katanya, rakan suspek memiliki satu rekod jenayah mengikut Seksyen 6 (1) ADB 1952.

Artikel Berkaitan