Undian Masa: Majoriti mahu perubatan ganja 'halal' di Malaysia

Australia, Uruguay, Turki dan Thailand sudah membuka ruang kepada penggunaan ganja dalam dunia perubatan. ― Foto Reuters
Australia, Uruguay, Turki dan Thailand sudah membuka ruang kepada penggunaan ganja dalam dunia perubatan. ― Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 24 Dis ― Kaji selidik yang dijalankan Pertubuhan Kesedaran Masyarakat Malaysia (Masa) mendapati majoriti pengguna maya menyokong usaha agar kerajaan membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan di Malaysia.

Memuat naik hasil dapatan terkini di laman Facebook rasmi, dapatan itu menunjukkan 98.1 peratus responden bersetuju dengan cadangan “Patutkah perubatan tumbuhan kanabis (ganja) dihalalkan di Malaysia”.

Sebanyak 16.5 peratus atau 1,650 responden mengakui mereka mempunyai latar belakang sebagai pengamal perubatan dan juga doktor.

Sementara 95.7 peratus pula menyatakan sokongan bahawa undang-undang sedia ada harus digubal untuk membenarkan pengunaan perubatan ganja.

Apabila diberi pilihan bagaimana ia harus diselia, 6,537 responden menjawab penggunaan semua spesis tumbuhan itu patut dibenarkan dan dikawal penggunaanya seperti tembakau.

Kaji selidik badan bukan kerajaan (NGO) yang dilakukan dalam talian sejak 7 November lalu itu mengumpul 10,000 responden.

Mendedahkan dapatan buat pertama kali, angka itu hanya 10 peratus daripada sasaran sebenar iaitu sebanyak 100,000 undian sebelum dibentangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kaji Selidik Kanabis (Ganja) Malaysia 2019: Undi Nasional dibuat di pautan https://s.surveyplanet.com/pNdjLfZy

KKM pada Mac lalu dilapor sedia meneliti dan mempertimbangkan cadangan agar ganja diberi ruang untuk kajian klinikal bagi menilai keberkesanan tumbuhan itu untuk merawat penyakit.

Langkah menghalalkan ganja seiring dengan negara-negara lain seperti Australia, Uruguay, Turki dan Thailand yang membuka ruang kepada penggunaannya dalam dunia perubatan.

Artikel Berkaitan