Kumpul di hotel, Maria Chin bukan pemimpin ‘pintu belakang’

Maria Chin Abdullah menafikan bersekongkol bersama pemimpin kerajaan ‘pintu belakang.’ — Foto oleh Shafwan Zaidon
Maria Chin Abdullah menafikan bersekongkol bersama pemimpin kerajaan ‘pintu belakang.’ — Foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 24 Feb — Maria Chin Abdullah menjelaskan kehadirannya ke Hotel Sheraton semalam bukan bermakna menyokong pembentukan kerajaan baharu.

Malah, wakil rakyat PKR berkata dia tidak bersetuju dengan gabungan “pintu belakang” itu.

“Sebagai menjawab pertanyaan ramai, keberadaan saya di Sheraton semalam adalah untuk mengemukakan ketidaksetujuan terhadap kerajaan pintu belakang kepada kumpulan yang berada di hotel,” katanya di Facebook.

“Selepas itu, saya terus meninggalkan hotel tersebut.”

Bekas pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (Bersih 2.0) terdahulu turut membuat kenyataan mengutuk sebarang tindakan yang tidak demokratik.

Tegasnya, sebarang percubaan tanpa proses demokratik adalah bertentangan dengan kemahuan rakyat.

Maria semalam dikecam ramai kerana dilihat hadir di Sheraton bersama kumpulan-kumpulan pembangkang dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH).