Lepas tawan Putrajaya, PKR minta PAS tunai janji hapus hutang PTPTN

Maria Chin Abdullah berkata PAS perlu mengotakan apa yang dikata selepas kini bersama membentuk kerajaan persekutuan. ― Foto oleh Shafwan Zaidon
Maria Chin Abdullah berkata PAS perlu mengotakan apa yang dikata selepas kini bersama membentuk kerajaan persekutuan. ― Foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Wakil rakyat PKR menyeru PAS menunaikan manifestonya untuk mengecualikan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Maria Chin Abdullah berkata PAS perlu mengotakan apa yang dikata selepas kini bersama membentuk kerajaan persekutuan.

“Cubalah dulu. Baru tiga hari jadi kerajaan sudah cakap tak boleh tunaikan janji,” katanya dalam satu kiriman di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya mengulas laporan portal yang memetik kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Timbalan Mentri Besar Kelantan berkata PAS tidak berdaya menunaikan janji itu kerana membentuk kerajaan di bawah Perikatan Nasional.

Mohd Amar berkata, janji itu tertunai jika PAS berjaya menawan Putrajaya secara bersendirian.