Video menteri sebut '15 negeri' pula tular, warga maya bingung (VIDEO)

Video Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyebut '15 negeri' pula tersebar di media sosial baru-baru ini. ― Foto oleh Yusof Mat Isa
Video Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyebut '15 negeri' pula tersebar di media sosial baru-baru ini. ― Foto oleh Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR, 20 April ― Belum reda isu menteri kesihatan tersilap sebut “500 negara” seluruh dunia sehingga menjadi bahan gurauan warga maya, kini muncul pula “15 negeri” di Malaysia.

Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu sidang media menyebut: “...saya ingin memaklumkan bahawa negeri mana yang paling banyak sehingga 15 negeri.”

Klip video berdurasi 10 saat dimuat naik pengguna Twitter @LagaCawan sejak semalam, dan ditonton 99,000 kali.

 

Warga Twitter di ruangan komen turut berteka-teki tentang kewujudan sebuah lagi negeri seperti yang dinyatakan Dr Adham.

“Singapore la, sebelum keluar dari Malaysia,” catat @hikarunu90.

“Lagi satu negeri pasir berdengung agaknya,” catat SuperBad.

Malaysia terdiri daripada 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sejak kelmarin Dr Adham menjadi bahan tawa di internet apabila mengatakan menyertai telesidang bersama “500 negara” membincangkan isu pandemik Covid-19.

Wakil rakyat Tenggara itu bagaimanapun semalam mengakui kesilapan menyebut “500 peserta seluruh dunia” semasa panggilan video dengan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.