Grab gantung khidmat pemandu didakwa meraba penumpang

Syarikat e-hailing Grab menggantung khidmat seorang pemandu yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap penumpang dalam kejadian di Ipoh, Perak. — Foto AFP
Syarikat e-hailing Grab menggantung khidmat seorang pemandu yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap penumpang dalam kejadian di Ipoh, Perak. — Foto AFP

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Syarikat e-hailing Grab menggantung khidmat seorang pemandu yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap penumpang dalam kejadian di Ipoh, Perak.

Grab Malaysia berkata, pihaknya sedang menyiasat kes itu dan akan bekerjasama dengan pihak polis selepas seorang pengguna Twitter mendedahkan ahli keluarganya diraba ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Setakat ini pemandu itu digantung sementara dan pada masa sama kami sedang berusaha menyelesaikannya dari dalam,” respons Grab terhadap ciapan Twitter Mizan Samsudin yang setakat ini diulang siar hampir 7,000 kali dan mendapat lebih 2,000 tanda ‘suka’.

Mizan sebelum itu memuat naik hantaran foto dan maklumat di Twitter, mencari seorang pemuda yang didakwa pelaku tersebut.

Menurut laporan polis yang dilampirkan, kejadian berlaku tengahari kelmarin apabila mangsa disuruh duduk di kerusi sebelah pemandu dan diajak berbual. 

Pelaku itu kemudian menunjukkan cincinnya dan menyuruh mangsa memakainya, namun mangsa enggan.

Selepas itu pemandu terbabit didakwa menyentuh tangan dan paha mangsa, malah tidak mengendahkan teguran mangsa.

Sementara itu, Mizan berkata mangsa ketika sampai di rumah terus masuk ke bilik dan kelihatan ketakutan serta menangis sebelum menceritakan perkara sebenar.

Carian di media sosial juga mendapati pelaku tersebut tidak menggunakan nama sebenar di profil akaunnya.

Artikel Berkaitan