Elak jangkitan Covid-19, pemandu Grab pasang penghadang dipuji

Kesungguhan seorang pemandu Grab memasang penghadang bagi mengelak jangkitan Covid-19 mendapat pujian ramai.  ― Foto ihsan Twitter/nizambakeri
Kesungguhan seorang pemandu Grab memasang penghadang bagi mengelak jangkitan Covid-19 mendapat pujian ramai. ― Foto ihsan Twitter/nizambakeri

KUALA LUMPUR, 28 Ogos ― Kesungguhan seorang pemandu Grab memasang penghadang bagi mengelak jangkitan Covid-19 mendapat pujian ramai.

Seorang pengguna Twitter Nizam Bakeri berkongsi pengalamannya menaiki Grab dan memuat naik foto pemandu e-hailing itu mengasingkan tempat duduknya dengan plastik lutsinar.

Notis peringatan pemakaian pelitup muka turut ditampal sebagai kesedaran terhadap penumpang supaya tidak menyebarkan virus.

“Pemandu @GrabMY saya hari ini. Syabas. Lebih baik mencegah dari merawat,” catat Nizam.

 

Hantarannya sejak semalam dikongsi lebih 6,400 kali dan mendapat lebih 10,000 tanda 'suka'.

Rata-ratanya memuji usaha pemandu Grab itu dan berpendapat beliau wajar diberikan nilai lima bintang serta tips.

Ada juga yang berkongsi pengalaman sama menaiki Grab apabila pemandu memasang penghadang lutsinar sebagai langkah pencegahan, selain menyediakan cecair pembasmi kuman dan mewajibkan pelitup muka.

Hantaran Nizam turut mendapat perhatian syarikat itu.

“Terima kasih terhadap pemerhatian positif tentang langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh pemandu. Kami perlu berusaha pada tahap terbaik, bekerjasama untuk menangani pandemik ini,” catat Grab Malaysia.