PDRM tidak kesan sebarang cubaan gugat ketenteraman negara

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, khabar angina akan berlaku perubahan kerajaan tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada keselamatan negara. ― Foto Bernama
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, khabar angina akan berlaku perubahan kerajaan tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada keselamatan negara. ― Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Sept ― Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan sebarang gerakan yang boleh menggugat ketenteraman negara susulan dakwaan yang dibuat oleh seorang ahli politik baru-baru ini berhubung perubahan kerajaan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM juga melihat perkara itu sebagai percaturan politik dalam kalangan ahli-ahli politik negara ini.

“...setakat ini walaupun banyak komen-komen dalam media sosial namun tidaklah sampai menjejaskan isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam.

“Rata-rata rakyat Malaysia kini telah matang dan tahu menilai dengan lebih baik mengenai isu-isu yang melanda negara ketika ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Rabu lepas, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mendakwa beliau mendapat sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli parlimen untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Susulan itu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Perikatan Nasional yang diterajuinya masih kukuh dan beliau masih lagi Perdana Menteri. ― Bernama