Vui Keong koma dipercayai akibat radang paru-paru, Najib doa cepat sembuh

Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak berharap Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong segera sembuh daripada penyakit dihadapinya. — Foto oleh Firdaus Latif
Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak berharap Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong segera sembuh daripada penyakit dihadapinya. — Foto oleh Firdaus Latif

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menzahirkan rasa simpati terhadap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong yang koma dipercayai akibat radang paru-paru.

Pada masa sama, Najib menyeru semua pihak mendoakan agar Vui Keong segera diberikan kesembuhan secepat mungkin.

“Mari kita mendoakan agar Liew segera sembuh sepenuhnya dan dipulihkan kesihatan secepat mungkin,” katanya di media sosial, hari ini.

Portal berita Utusan Malaysia melaporkan Vui Keong dikhabarkan mengalami jangkitan radang paru-paru dan sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital dekat Kota Kinabalu, Sabah.

Setakat ini, masih tiada perkembangan lanjut mengenai keadaan Vui Keong.

Pada pilihan raya umum lalu, Vui Keong berjaya memenangi kerusi parlimen Batu Sapi dengan menewaskan Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).