Akaun Twitter parodi guna nama Jakim hina Islam, menteri agama seru buat aduan

Paparan skrin akaun Twitter parodi menggunakan nama dan logo Jakim yang didapati menghina Islam. — Foto ihsan Twitter
Paparan skrin akaun Twitter parodi menggunakan nama dan logo Jakim yang didapati menghina Islam. — Foto ihsan Twitter

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zulkifli Mohamad menyeru warga maya mengemukakan aduan terhadap sebuah akaun Twitter parodi yang menggunakan nama dan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menghina Islam.

Zulkifli berkata, Jakim juga boleh mengambil tindakan terhadap akaun palsu itu.

“@MyJAKIM boleh ambil tindakan sewajarnya untuk akaun palsu @MyJAKIM,” responya terhadap gesaan pengguna Twitter lain tentang sebuah akaun yang menyeleweng ayat al-Quran dan hadis atas nama ‘parodi’.

“Kita sama-sama ‘report’ akaun palsu ini,” tambah Zulkifli.

 

Semakan mendapati akaun itu wujud sejak bulan lalu, menggunakan nama dan logo sama seperti akaun Twitter rasmi Jakim.

Hantarannya didapati menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang diragui kesahihannya, malah memuat naik hantaran yang bertentangan Islam seperti LGBT dan hukum menggunakan najis haiwan.

Sehingga berita ini ditulis, akaun tersebut masih wujud di Twitter dengan 99 pengikut.