Pamer bakat terpendam, Cik B kongsi kisah silam menerusi ‘Tolonglah’ (VIDEO)

Cik B yang kini bergelar penyanyi mengakui meminati bidang nyanyian sejak dari kecil. — Foto ihsan Instagram/Cik B Havoc
Cik B yang kini bergelar penyanyi mengakui meminati bidang nyanyian sejak dari kecil. — Foto ihsan Instagram/Cik B Havoc

IPOH, 2 Dis — Pengalaman didera pembantu rumah semasa kecil dan konflik keluarga akibat perceraian ibu bapa yang dialami Cik B kini diterjemahkan dalam bentuk lagu berjudul “Tolonglah.”

Cik B, atau nama sebenar Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 15, berkata lagu berentak rap itu dihasilkan bersama ibunya, usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, 49, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.

“Sebenarnya, saya suka menyanyi sejak berusia lima tahun dan ramai yang meminta saya menyanyi lagu rap, jadi saya mengeluarkan lagu saya sendiri untuk para pendengar.

“Rakaman video lagu berdurasi 4 minit 50 saat ini dibuat di Kuala Lumpur dan saya harap orang ramai dapat menerima lagu ini,” katanya pada sidang media pelancaran lagu itu di kediaman Vida di Meru Heights di sini, malam tadi.

 

Cik B berkata beliau akan menghadiri kelas vokal untuk memantapkan lagi nyanyian sebelum menerbitkan lagu keduanya dalam masa terdekat.

Selain turut mempunyai perniagaan sendiri, Cik B yang mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan mengakui pelajarannya agak terganggu kerana terpaksa membahagikan masa dengan jadual pengambaraan filem di Kuala Lumpur dan mengikuti pelajaran di Ipoh.

“Saya juga bercadang untuk melakukan pelbagai kerja dalam masa sama iaitu berlakon, menyanyi dan menjalankan perniagaan. Kalau ada rezeki, saya ingin mencapai ke tahap antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Vida berkata beliau teruja dengan perubahan anak kesayangannya itu yang kini gemar bersolek dan menggayakan pakaian feminin berbanding dahulu selain boleh menyesuaikan diri dengan orang ramai.

“Sebelum ini, Cik B malu bergaul dengan orang lebih-lebih lagi apabila menerima pelbagai kecaman daripada warganet, sekarang dia sudah ada kekuatan untuk berdepan orang ramai dan keluar daripada kepompong dengan bersedia menjadi seorang selebriti,” katanya.

Video muzik lagu Tolonglah menerima tontonan lebih 140,000 setakat pukul 7 pagi ini selepas dimuat naik di laman YouTube pada pukul 9 malam tadi, selain menerima banyak komen positif. — Bernama

Artikel Berkaitan