KSN terlibat mesyuarat Majlis Presiden PN, Hannah anggap tidak profesional

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengkritik Perikatan Nasional (PN) yang melibatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada mesyuarat majlis presiden, semalam. —  Shafwan Zaidon
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengkritik Perikatan Nasional (PN) yang melibatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada mesyuarat majlis presiden, semalam. — Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Keberadaan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipersoalkan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Hannah berkata, Mohd Zuki tidak sepatutnya terlibat dalam mesyuarat parti politik memandangkan statusnya sebagai seorang penjawat awam.

“Kenapa Ketua Setiausaha Negara (KSN) boleh terlibat dalam mesyuarat parti politik PN? Jangan libatkan penjawat awam dalam mesyuarat politik. Tidak profesional,” katanya di media sosial, semalam.

Berdasarkan Peraturan 21 (1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 menetapkan pegawai awam dalam kumpulan pengurusan tertinggi dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memuat naik foto mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan (PN) yang berlangsung secara maya di media sosial.

Katanya, mesyuarat membincangkan pelbagai isu termasuk Ordinan Darurat dan pengurusan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Majlis Presiden PN akan terus menjadi platform perbincangan tertinggi bagi semua parti komponen dalam usaha memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran.