Bila giliran 'Mencari Rahmat'?, Al Jafree tidak sabar tayang kepada umum

Setakat ini, masih belum dapat disahkan tarikh sebenar filem 'Mencari Rahmat' arahan Al Jafree Md Yusop. ― Foto ihsan Twitter
Setakat ini, masih belum dapat disahkan tarikh sebenar filem 'Mencari Rahmat' arahan Al Jafree Md Yusop. ― Foto ihsan Twitter

KUALA LUMPUR, 26 Jan — Pandemik Covid-19 membadai negara sejak setahun lalu cukup memberi kesan kepada pelbagai sektor.

Tidak terkecuali, industri seni negara yang turut menerima impak besar akibat pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam usaha memerangi penularan virus pembunuh itu.

Lelah dengan situasi terkini, pengarah Al Jafree Md Yusop meluahkan rasa kecewa kerana masih gagal mempersembahkan filemnya Mencari Rahmat di layar perak.

Mendoakan pandemik Covid-19 segera berakhir, Al Jafree mengakui tayangan Mencari Rahmat adalah suatu yang ditunggu selepas sekian lama mengimpikan berbuat demikian.

“Aku menanti berakhirnya pandemik ini supaya filem aku boleh ditayangkan pada umum,” katanya di media sosial.

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan larangan operasi pawagam susulan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP2.0).

Arahan itu tertakluk kepada semua pawagam di lokasi dikenakan PKP bermula 13 Januari lalu.

Setakat ini, masih belum terdapat makluman lanjut selama mana arahan tersebut berkuatkuasa.

Mencari Rahmat merupakan filem diinspirasikan daripada kisah The Importance of Being Earnest.

Ini merupakan cubaan kali keempat bagi pengarah tersebut menayangkan filem itu namun, gagal berbuat demikian.

Antara barisan bintang terlibat dalam Mencari Rahmat termasuk Nam Ron, Amerul Affendi, Sharifah Amani, Nadia Aqilah dan Adibah Noor.

Nam Ron membawakan watak Razak memaparkan kehidupannya yang gemar bersosial dan sanggup ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang.

Dibayangi sebagai Rahmat, Rose lakonan Nadia jatuh cinta dengan lelaki pujaannya yang terpaksa bersaing dengan Ratna lakonan Sharifah Amani.

Bagi mengetahui perkembangan filem ini, nantikan Mencari Rahmat di pawagam kelak.