Dr Amalina buka akaun TikTok, kongsi ilmu perubatan

Dr Nur Amalina Che Bakri membuka akaun TikTok dan kini mempunayai lebih 30,000 pengikut. ― Foto ihsan Instagram/dramalinabakri
Dr Nur Amalina Che Bakri membuka akaun TikTok dan kini mempunayai lebih 30,000 pengikut. ― Foto ihsan Instagram/dramalinabakri

KUALA LUMPUR, 16 Feb ― Pempengaruh perubatan Dr Nur Amalina Che Bakri pada awalnya cuba untuk tidak terpengaruh dengan trend aplikasi TikTok.

Namun pelatih pakar bedah Kolej Imperial London itu akhirnya akur dan membuka akaun baru, fokus untuk mendidik masyarakat tentang kesihatan dan melawan maklumat palsu.

“Saya cuba untuk menjauhkan diri daripada TikTok tetapi saya rasa ia ruang terbaik untuk pendidikan kesihatan umum terutamanya untuk menyanggah maklumat yang salah,” catatnya di Twitter.

 

Baru beberapa hari dibuka, Dr Amalina kini mempunyai lebih 30,000 pengikut di TikTok.

Tidak seperti pengguna lain yang menunjukkan aksi tarian dan kecantikan, Dr Amalina sebaliknya berkongsi maklumat dan tips dunia perubatan.

Antaranya tentang kepentingan vaksin, prosedur pembedahan dan memperbetulkan persepsi tentang produk kesihatan yang didakwa menyembuhkan penyakit kronik.

Pengumumannya di Twitter disukai lebih 15,000 dan dikongsi lebih 5,000 pengguna.

“Semoga berjaya Amalina, teruskan mendidik masyarakat,” catat Khairul Hafidz.

“Cara yang bagus untuk menyampaikan maklumat berguna terutamanya kepada generasi muda dan remaja,” catat kaitlynn.