Pengusaha bimbang kemarau jejaskan tanaman harumanis

Pegawai pertanian Nurul Ameera Mohammad menunjukkan mangga harumanis di Pusat Pertanian Rhu Tapai, Terengganu, Jun 2020. ― Foto Bernama
Pegawai pertanian Nurul Ameera Mohammad menunjukkan mangga harumanis di Pusat Pertanian Rhu Tapai, Terengganu, Jun 2020. ― Foto Bernama

PADANG BESAR, 2 Mac — Keadaan cuaca panas dan kering melampau ketika ini menimbulkan keresahan buat beberapa pengusaha mangga Harumanis di Perlis apabila bunga pokok Harumanis mereka mulai kering dan gugur.

Seorang pengusaha tanaman itu, Che Jan Che Seman, 65, berkata bukan sekadar bunga pokok Harumanis yang kering dan gugur, malah putik mangga itu juga akan gugur akibat tangkainya kering.

Pesara kerajaan yang memiliki 170 pokok mangga Harumanis di kebunnya di Bukit Keteri dekat sini menjangka hasil tahun ini akan terjejas teruk berdasarkan keadaan itu.

“Kalau tahun lepas, pokok-pokok mangga Harumanis saya mampu mengeluarkan hampir dua tan metrik buah, tetapi tahun ini dijangka hanya lima peratus sahaja daripada jumlah itu yang boleh dijual.

“Bagaimanapun saya tidak menyalahkan takdir kerana memang menjadi adat dunia, kadang-kadang rezeki bertambah dan kadangkala sebaliknya,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pengusaha Harumanis Suhardi Saad, 43, pula berkata beliau menanggung kos bil air yang tinggi bulan ini kerana terpaksa menggunakan air paip untuk menyiram tanamannya ekoran telaga di kebunnya di Bukit Temiang di sini, kering sejak sebulan lepas.

“Cuaca yang sangat panas menyebabkan telaga kering dan saya pula perlu berterusan menyiram air pada pokok Harumanis.

“Saya dan rakan pengusaha Harumanis berharap pihak kerajaan negeri dapat menyediakan bantuan dari segi subsidi atau diskaun bagi bil air Syarikat Air Perlis (SAP) yang merupakan milik kerajaan negeri,” katanya.

Bekas guru itu juga berharap kerajaan negeri tampil membantu pengusaha Harumanis memandangkan hasil tanaman itu tahun ini dijangka berkurangan daripada tahun sebelumnya.

Bernama difahamkan, ramai lagi pengusaha tanaman Harumanis di negeri ini kurang bernasib baik apabila terpaksa membelanjakan banyak wang untuk membeli baja pokok, racun pemusnah serangga dan kos menyiram pokok.

Fenomena cuaca panas dan kering di Perlis dikenali sebagai ‘Angin Timur’, lazimnya berlaku antara Disember hingga Mac yang menyebabkan petani terpaksa mengeluarkan kos tinggi bagi menyiram hasil tanaman mereka.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, negara kini dilanda fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan ini dan taburan hujan agak rendah terutama di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. — Bernama

Artikel Berkaitan