‘Projek: Anchor SPM’ janji kelainan, mendebarkan

‘Projek: Anchor SPM’ akan bersiaran di Astro Citra mulai 15 Mac ini. — Foto ihsan Astro
‘Projek: Anchor SPM’ akan bersiaran di Astro Citra mulai 15 Mac ini. — Foto ihsan Astro

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Pengarah Razaisyam Rashid menampilkan kelainan menerusi drama bersiri terbaharu arahannya Projek: Anchor SPM.

Mempersembahkan barisan pelakon muda berbakat, drama bersiri itu menjanjikan kandungan menarik dengan mengetengahkan nostalgia zaman persekolahan dengan beberapa plot mendebarkan.

“Di atas kepercayaan yang diberikan ini, saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza daripada aspek teknikal dan gaya seni untuk mencapai tahap kualiti yang tinggi.

“Tentunya, ada cabaran dalam menghasilkan karya ini, lebih-lebih lagi sesi penggambaran adalah ketika berlangsungnya fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan banyak limitasi,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Projek: Anchor SPM menceritakan kisah sekumpulan pelajar sekolah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sepanjang lapan episod penonton disajikan konflik berbeza yang mampu mencetuskan keterujaan, sekaligus mendorong untuk terus menantikan episod seterusnya.

Drama bersiri itu dibintangi Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Shasha Abedul dan Juara Hero Remaja 2020 Nadhir Nasar.

Turut membintangi adalah nama besar dalam industri seni seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat, Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Artikel Berkaitan