PM: Malaysia dapat tambahan 10,000 kuota haji pasca pandemik

Malaysia memperoleh tambahan 10,000 kuota haji pasca pandemik Covid-19. — Foto Reuters
Malaysia memperoleh tambahan 10,000 kuota haji pasca pandemik Covid-19. — Foto Reuters

RIYADH, 10 Mac — Malaysia memperoleh tambahan 10,000 kuota haji, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata beliau membuat permohonan itu ketika menghadap Putera Mahkota Arab Saudi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di Istana Al-Yamamah di sini pada Selasa (Rabu di Malaysia).

“Apabila situasi haji kembali normal berikutan pandemik Covid-19, permintaan kita diluluskan,” katanya kepada media Malaysia pada penghujung lawatan rasmi empat harinya ke negara itu.

Beliau berkata Putera Mahkota memberikan jawapan positif dan jaminan kerana negara itu mengalu-alukan jemaah Malaysia yang terkenal dengan tingkah laku yang baik, berdisiplin dan kurang menimbulkan masalah.

Makkah dan Madinah juga masih dalam proses perluasan bagi menampung lebih ramai jemaah pada masa hadapan, kata Muhyiddin.

Menurut laman web Tabung Haji, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata rakyat Malaysia perlu bersabar kerana bilangan jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun lepas sangat terhad berikutan pandemik global itu.

Beliau berkata ada beberapa berita baik hasil daripada pertemuan itu kerana Malaysia dan Arab Saudi telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah yang akan memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Ini termasuk urusan penerbangan, pemeriksaan visa dan pasport, prosedur kastam dan urusan logistik yang lain.

“Jemaah Malaysia tidak perlu lagi menunggu berjam-jam lamanya semasa pemeriksaan imigresen di negara ini. Mereka boleh terus pergi ke bas-bas yang menunggu,” katanya. — Bernama