PM: Jangan ragu, beri peluang pemimpin wanita muda

Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin di semua organisasi memperkasakan pemimpin wanita muda. — Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin di semua organisasi memperkasakan pemimpin wanita muda. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Mac — Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin di semua organisasi, sama ada dalam kerajaan atau bukan kerajaan, parti politik dan sektor korporat, supaya mengenal pasti, meningkatkan dan memperkasakan pemimpin wanita muda.

Perdana Menteri berkata pemimpin wanita muda harus diberikan ruang kerana mereka perlu berkembang dan menunjukkan sepenuhnya potensi mereka.

“Saya yakin pemimpin wanita muda kita hari ini akan menjadi pemimpin hebat esok. Kita perlu berhenti meragui potensi mereka kerana sudah terbukti bahawa wanita juga dapat menjadi pemimpin yang lebih baik, “ kata beliau dalam ucaptama pada forum pemimpin wanita, “Rise 2021: Future Female Leaders Forum “ bertemakan “Women, The Key To A Brighter Future” di sini hari ini.

Beliau berkata memperkasa wanita lebih dari sekadar memberi kata-kata semangat tetapi juga mengakui bahawa ada cabaran budaya dan sistemik yang dihadapi wanita dalam kehidupan seharian mereka semata-mata kerana gender.

“Memperkasa wanita bermaksud kita tidak boleh menjadi penonton terhadap fakta ini tetapi menjadi orang yang secara aktif memberikan sokongan berterusan kepada wanita untuk mengatasi cabaran tersebut dan mencipta perubahan untuk dunia yang adil dan saksama,” tambahnya. — Bernama