Jus kesihatan penyebab datuk jatuh sakit, gadis mahu ambil tindakan

Minuman jus kesihatan yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit kronik. — Foto ihsan Twitter/@syuraibrhm
Minuman jus kesihatan yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit kronik. — Foto ihsan Twitter/@syuraibrhm

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Seorang gadis mahu mengambil tindakan terhadap syarikat pengeluar produk minuman jus kesihatan kerana menyebabkan datuknya jatuh sakit.

Syura Ibrahim mendakwa, produk buatan tempatan itu diambil datuknya, namun selepas seminggu kesihatan datuknya yang asal warga emas aktif mula merosot.

“Atuk aku memang seorang yang aktif. Lepas dia amalkan benda ini seminggu atuk aku tiada selera makan, buang air kecil darah ketul-ketul, darah beku pada paru-paru,” catatnya di Twitter.

Katanya disebabkan itu datuknya menjadi terlalu kurus dan tidak boleh berjalan seperti biasa.

Beliau juga menyeru mana-mana individu yang senasib dengan datuknya agar menghubungi dan mengajak untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Sesiapa senasib dengan atuk Syura, boleh DM Syura dekat Instagram.

“Kita sama-sama tegakkan keadilan,” tambahnya.

Berdasarkan foto, produk itu berupa minuman campuran asam susur dan gam arab, dikatakan mampu merawat pelbagai sakit kronik termasuk buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis.

“Untuk kes ini, Syura ingin jelaskan yang Syura akan mengambil tindakan atas apa yang berlaku pada atuk Syura,” katanya.

Hantarannya sejak 14 Mac lalu diulang ciap lebih 4,000 kali dan mendapat lebih 5,000 ‘suka’.

Gadis itu di Twitter pada semalam memuat naik foto dirinya memegang sehelai laporan polis dengan kapsyen “jumpa nanti”, dipercayai aduan terhadap produk berkenaan.

Artikel Berkaitan