Artis nikah ingkar SOP, Iesya soal kenapa pilih kasih

Foto pernikahan pasangan selebriti semalam tular selepas ingkar SOP Covid-19. — Foto ihsan Instsgram/Iesya
Foto pernikahan pasangan selebriti semalam tular selepas ingkar SOP Covid-19. — Foto ihsan Instsgram/Iesya

KUALA LUMPUR, 28 Mac — Bekas pengacara TV tetap mempersoalkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) selebriti terkenal semalam. 

Iesya Toh berkata mana-mana pihak tidak wajar terkecuali dalam melaksanakan SOP mencegah penularan Covid-19. 

“Perhimpunan Agung Umno sangat menjaga penjarakan. Solat berjemaah di masjid dan surau tidak boleh rapatkan saf melainkan serumah. Itu pun bukan semua negeri. 

“Akad nikah mengikut SOP yang ini bukan untuk rakyat marhaen sahaja. Semua! Semua rakyat Malaysia tidak kiralah anda artis, selebriti, penjawat awam, keluarga polis, ahli politik atau usahawan. 

“Ada MyKad tolong ikut,” coretnya di Instagram hari ini.

Tular di media sosial semalam, foto majlis pernikahan artis popular yang gagal mematuhi SOP Covid-19. 

Tetamu yang hadir dilihat duduk berdekatan walau masing-masing memakai pelitup muka.

Iesya berkata isu berkenaan tidak terkecuali menjadi perhatian walau sesetengah pihak melihat kewajaran majlis berkenaan. 

“Bila saya tegur ramai yang mempertahankan kata mereka satu rumah, mereka pakai pelitup muka. Ok saya padam kiriman itu. 

“Bila padam, ramai pula tanya kenapa pilih kasih? Apa pun saya tidak memilih kes. Tanggungjawab tetap tanggungjawab!” katanya.