PAS kesal Umno halang cari kawan, rasa tidak dihargai

Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS tidak wajar dihalang untuk mendampingi mana-mana pihak. — Foto Bernama
Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS tidak wajar dihalang untuk mendampingi mana-mana pihak. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Mac — Di sebalik kehangatan Perhimpunan Agung Umno, PAS kesal dengan pendirian rakan parti Melayu.

Setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS tidak wajar dihalang untuk mendampingi mana-mana pihak. 

“Setiakawan sejati bukan sampai tegah kawan berkawan, kawan adalah rezeki persahabatan yang datang.  

“Aku mungkin hilang kau kawan yang tidak hargaiku, tetapi kau hilang aku kawan yang betul-betul mempercayaimu,” katanya.

Luahan menteri di Jabatan Perdana Menteri di Twitter selepas ketua Pemuda Umno mendesak PAS untuk menyatakan pendirian untuk bersama dalam Muafakat Nasional atau sebaliknya.

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata pendirian PAS penting bagi membolehkan Umno membuat persiapan Pilihan Raya Umum ke-15.