Umno tolak kerjasama dengan PN, Pemuda PAS harap usaha bina perpaduan ummah tidak terkubur

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairil Nizam Khirudin gesa pertahankan perpaduan ummah demi kesejahteraan seluruh umat Islam negara ini. — Foto oleh Mukhriz Hazim
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairil Nizam Khirudin gesa pertahankan perpaduan ummah demi kesejahteraan seluruh umat Islam negara ini. — Foto oleh Mukhriz Hazim

SHAH ALAM, 29 Mac — Keputusan Umno untuk memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa diharap tidak menjejaskan hubungan PAS dengan parti itu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairil Nizam Khirudin berkata, apa yang penting adalah bagaimana hubungan baik PAS dan Umno diteruskan demi perpaduan terjalin sebelum ini.

Jelas Khairil, Pemuda PAS akan terus berusaha membina perpaduan ummah khusus membabitkan generasi muda dalam konteks lebih luas dengan merentasi politik kepartian semata-mata.

“Umno telah meluluskan usul untuk tidak bersama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 dan akan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional pada bila-bila masa sahaja daripada hari ini.

“Kami pemuda PAS akan terus komited untuk berunding demi agenda perpaduan ummah dalam kalangan anak muda bagi konteks yang lebih besar dan merentasi politik kepartian serta agenda mendapatkan kuasa semata-mata.

“Saya berharap agar keputusan yang telah dibuat oleh Umno dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 ini tidak akan menjejaskan Muafakat Nasional PAS dan Umno serta tidaklah pula menjadi salah satu penghalang kepada agenda perpaduan ummah yang diperjuangkan oleh PAS khususnya bersama Bersatu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Umno telah memutuskan untuk bergerak secara ‘solo’ pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu serta akan menarik sokongan terhadap kerajaan PN pada bila-bila masa.

Terdahulu, Khairil menggesa seluruh kepimpinan dan akar umbi Pemuda PAS untuk tidak berhenti daripada perjuangan membina perpaduan dalam kalangan ummah.

Menyifatkan ia sebagai milik setiap umat Islam, perpaduan ummah yang dibina sifatkan sebagai usaha murni yang perlu dipertahankan.

“Kepada semua Pemuda PAS di seluruh negara, teruskan usaha murni terhadap penyatuan ummah. Ia adalah milik seluruh umat Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini,” katanya lagi.