Wanita Umno serah kepada presiden, MT demi kelangsungan parti

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pergerakan itu akan sentiasa memberi komitmen demi perjuangan agama, bangsa dan rakyat. —  Foto oleh Hari Anggara.
Ketua Wanita Umno Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pergerakan itu akan sentiasa memberi komitmen demi perjuangan agama, bangsa dan rakyat. — Foto oleh Hari Anggara.

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Pergerakan Wanita Umno menaruh kepercayaan kepada presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi untuk membuat  keputusan politik demi memastikan Umno kembali menjadi pilihan rakyat dan pengundi pada pilihan raya umum kelak.

Ketua pergerakan itu Datuk Seri Noraini Ahmad berkata Wanita Umno sebagai tulang belakang parti akan sentiasa memberikan seluruh komitmen terhadap perjuangan agama, bangsa dan rakyat.

“Wanita Umno akur dengan segala keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 dan Majlis Tertinggi Umno yang memutuskan untuk bertanding atas logo Barisan Nasional (BN) dan tidak bersama DAP, PKR dan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, usul menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional pada PRU15 dipersetujui sebulat suara perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung parti yang berakhir semalam.

Semasa menyampaikan ucapan dasar presiden, Ahmad Zahid berkata bahawa BN yang ditunjangi oleh Umno akan menghadapi PRU15 secara bersendirian. — Bernama