'Lompat malam bawa kerusi Umno', Najib tempelak Rosol cetus kemarahan akar umbi

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui 'serangan' terhadap Umno daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyebabkan kemarahan ahli akar umbi parti itu. ― Foto oleh Hari Anggara
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui 'serangan' terhadap Umno daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyebabkan kemarahan ahli akar umbi parti itu. ― Foto oleh Hari Anggara

SHAH ALAM, 30 Mac ― Kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Rosol Wahid yang menempelak keputusan Umno untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapat reaksi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib dalam satu kiriman di media sosial berkata, tindakan sebilangan pemimpin Bersatu yang sering 'menyerang' Umno bukan sahaja menjadi punca kepada perselisihan malah, turut menyebabkan kemarahan ahli akar umbi parti itu.

Sambil menyindir Rosol susulan tindakannya melompat parti dari Umno ke Bersatu, Najib pada masa sama mengingatkan kepimpinan Bersatu bahawa segala keputusan dibuat Umno di perhimpunan agung tempoh hari adalah berasaskan kepada suara akar umbi parti.

“Mula-mula lompat malam bawa kerusi Umno selepas PRU14. Lalu beri amaran pada Umno untuk jangan kacau kerusi PPBM (Bersatu).

“Hari ini beri amaran jangan ugut PPBM dan cabar Umno tarik sokongan dari kerajaan PN serta-merta.

“Sebab itu, macam mana akar umbi Umno tak marah pada PPBM? Bayangkan jika perkara ini terjadi pada parti PAS seperti masa pemimpin PAN (Parti Amanah Negara) lari dari PAS,” katanya di Facebook, hari ini.

Memetik laporan portal berita Utusan, Rosol didakwa memberi amaran kepada Umno untuk tidak menggertak Bersatu.

Jelasnya, ugutan Umno untuk menarik sokongan tidak memberi kesan kepada Bersatu malah hanya membuang masa.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) tempoh hari, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keputusan parti itu untuk tidak bersama PN pada pilihan raya akan datang.

Beliau juga turut menegaskan bahawa Umno boleh menarik sokongan kepada PN pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai.

Semalam, media melaporkan beberapa menteri daripada Umno telah bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

Namun, hasil pertemuan tidak didedahkan kepada media.