Pertimbang semula kebenaran rentas daerah bagi penerima dos kedua

Setakat 28 Mac, terdapat lebih 129,000 individu telah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 seluruh negara. ― Foto oleh Hari Anggara
Setakat 28 Mac, terdapat lebih 129,000 individu telah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 seluruh negara. ― Foto oleh Hari Anggara

SIBU, 30 Mac ― Sudah tiba masanya peraturan pergerakan rentas daerah dikaji semula bagi mereka yang menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa faktor perlu dipertimbangkan sebelum Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Majlis Keselamatan Negera (MKN) boleh membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Dr Annuar yang merupakan penyelaras JPBN Bahagian Sibu menjelaskan satu daripada faktor adalah jumlah kes Covid-19, yang menurutnya masih tinggi untuk membenarkan pergerakan rentas daerah.

Satu lagi faktor adalah vaksin Pfizer adalah 95 peratus berkesan dengan sesetengah individu memerlukan masa untuk membina antibodi mereka selepas dos kedua.

“Bilangan petugas barisan hadapan yang telah mengambil dos kedua ialah 129,000 di seluruh negara dan 19,000 di Sarawak. Ia masih sangat minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan penonton yang disiarkan secara langsung di laman Facebook mengenai kemas kini mengenai Covid-19 di Sibu, semalam.

Dr. Annuar menggesa orang ramai di Sibu untuk terus bekerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi meratakan lengkung graf kes Covid-19.

Beliau berkata walaupun semua 31 zon di Sibu telah bertukar ke zon kuning, lengkung itu masih belum benar-benar rata.

Sibu hari ini merekodkan 33 kes positif Covid-19 manakala 80 pesakit telah discaj dari Hospital Sibu. ― Bernama