Covid-19: Dua kluster baharu di Tawau dikesan

Pasukan kesihatan kini giat menjalankan proses pengesanan kontak rapat pesakit Covid-19 di Tawau, Sabah. ― Foto oleh Shafwan Zaidon
Pasukan kesihatan kini giat menjalankan proses pengesanan kontak rapat pesakit Covid-19 di Tawau, Sabah. ― Foto oleh Shafwan Zaidon

KOTA KINABALU, 31 Mac ― Sabah merekodkan dua lagi kluster baharu Covid-19, masing-amasing membabitkan kes indeks calon penjawat awam dan jurujual alat komunikasi di Tawau, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi, yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19, berkata kluster baharu itu ialah Kluster Semarak dan Kluster Ranggu dengan masing-masing merekodkan enam dan lapan kes yang membabitkan saringan kontak rapat dalam kalangan rakan serumah.

“Kluster Semarak membabitkan kes indeks seorang calon penjawat awam yang disahkan positif melalui saringan di klinik swasta sebelum mendaftar masuk ke pusat latihan di Kota Kinabalu. Saringan kontak rapat mendapati lima lagi kes positif dalam kalangan rakan serumah, namun, punca jangkitan masih dijalankan.

“Kluster Ranggu pula dikesan pada 26 Mac apabila kes indeks iaitu jurujual alat komunikasi menjalani saringan bergejala di sebuah klinik. Hasil saringan kontak rapat, tujuh lagi kes positif termasuk rakan serumah dan teman lelaki direkodkan.

“Berdasarkan penelitian kes, jangkitan dipercayai berpunca daripada keluarga kes indeks yang menghadiri kenduri arwah di Taman Semarak pada 20 Mac dan Majlis Graduasi pada 24 Mac. Pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. ― Bernama