Lewandowski cedera, tidak dapat beraksi sebulan

Pemain bola sepak kebangsaan Poland Robert Lewandowski berdepan kecederaan ketika pasukannya bertemu Andorra dalam kelayakan Piala Dunia Fifa 2022. ― Foto Reuters
Pemain bola sepak kebangsaan Poland Robert Lewandowski berdepan kecederaan ketika pasukannya bertemu Andorra dalam kelayakan Piala Dunia Fifa 2022. ― Foto Reuters

ANKARA, 31 Mac ― Bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski, terpaksa diketepikan selama sebulan selepas mengalami kecederaan lutut, kata kelab bola sepak Jerman itu pada Selasa.

“Robert Lewandowski mengalami masalah ligamen di lutut kanannya. Penyerang itu tidak akan beraksi selama empat minggu,” kata Bayern Munich dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.

Lewandowski, 32, cedera selepas Poland menumpaskan Andorra 3-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Fifa 2022 pada Ahad dan kembali ke Munich untuk menjalani rawatan perubatan.

Penyerang Poland itu akan terlepas aksi suku akhir Liga Juara-Juara Uefa menentang kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) pada 7 April di Munich dan 13 April di Paris.

Musim ini, Lewandowski berjaya menjaringkan 42 gol dalam 36 perlawanan bersama Bayern Munich. ― Bernama