Pengguna boleh bawa kes ke mahkamah selain TTPM, kata Rosol

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid nafi aplikasi mudah alih, Price Catcher gagal mencapai objektif. — Foto Bernama
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid nafi aplikasi mudah alih, Price Catcher gagal mencapai objektif. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 1 April — Selain Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), pengguna boleh membawa kes mereka ke mahkamah sivil bagi tuntutan tebus rugi berhubung pembelian barang dan perkhidmatan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata TTPM berfungsi sebagai platform alternatif kepada mahkamah sivil.

Beliau berkata pengguna yang menang tetapi syarikat yang diperintahkan membayar award gagal berbuat demikian seperti yang diarahkan oleh TTPM, boleh membawa kes itu ke mahkamah sivil.

“Tugas TTPM hanya untuk pastikan pengguna terbela,” katanya pada diskusi bertajuk ‘Pesta Naikkan Harga Menjelang Ramadan’ yang dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di laman Facebooknya secara langsung, malam tadi yang turut disertai oleh Ketua Aktivitis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Dalam perkembangan lain, Rosol turut menyangkal dakwaan kononnya aplikasi mudah alih, “Price Catcher” yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) gagal mencapai objektifnya.

Beliau yang mengakui walaupun terdapat kelemahan dari segi promosi membabitkan aplikasi itu, namun berkata setakat ini seramai 1,000 pengguna telah memuat turun aplikasi yang memaparkan perbandingan harga lebih 400 barangan keperluan pengguna itu.

“Bukan gagal, cuma kurang promosi. Pengguna sebenarnya boleh bandingkan harga dan menjimatkan masa untuk membuat perbandingan,” katanya. — Bernama

Artikel Berkaitan