PAS tolak ‘muafakat’, PN selamatkan negara, kata Hadi

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS menolak muafakat tanpa ada sikap bersatu serta kumpulan yang tidak setia kepada negara. — Foto oleh Shafwan Zaidon
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS menolak muafakat tanpa ada sikap bersatu serta kumpulan yang tidak setia kepada negara. — Foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 2 April — PAS hari ini menegaskan parti itu menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada Muafakat Nasional (MN) yang asal, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata PAS juga menolak muafakat tanpa ada sikap bersatu serta kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara, dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.

Justeru Abdul Hadi mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Bersatu yang berteraskan Islam.

“Selain itu juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.

“Marilah bersama tawaran baharu ini iaitu berintegriti dan berkebajikan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan, yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

Selain itu katanya, parti itu juga menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.

“Tujuan PAS sudah terang lagi bersuluh, bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya adalah untuk menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin.

“Maka, jika terdapat mereka yang sempit dan terhad tujuannya, itu pasti ditinggalkan,” katanya.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam status di Facebooknya meminta rakan politik Umno dalam MN untuk berfikir sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan muafakat itu yang asli.

“Belajarlah daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang semuanya gagal, kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan ‘genuine’,” katanya dan menambah Umno serius dalam memperkukuhkan MN yang ditubuhkan pada 2019.

Beliau berkata, pelbagai kejayaan dilakar MN termasuklah banyak kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan usaha bersama memperjuangkan kepentingan rakyat, malah momentum keyakinan rakyat pelbagai bangsa dan agama sangat positif, terhadap apa yang boleh ditawarkan oleh MN yang sebenar. — Bernama