1,638 kes baharu Covid-19, tiga pesakit maut, kata KKM

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 1,449 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih Covid-19 sebanyak 333,892 kes. — Foto oleh Miera Zulyana
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 1,449 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih Covid-19 sebanyak 333,892 kes. — Foto oleh Miera Zulyana

KUALA LUMPUR, 3 April — Sebanyak 1,638 kes baharu Covid-19 dan tiga kematian direkodkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 1,449 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih daripada Covid-19 di negara ini sebanyak 333,892 manakala keseluruhan angka kematian mencecah 1,286 orang selain jumlah kes aktif kini ialah 14,432.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,631 merupakan kes penularan tempatan sementara tujuh lagi adalah kes import,” katanya menerusi akaun rasmi beliau di laman Twitter.

Beliau berkata 167 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 81 individu memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan Perak mencatat kes harian tertinggi iaitu 494 kes diikuti Selangor (352 kes) dan Sarawak dengan 290 kes.

Sementara itu, tujuh kluster baharu dikesan membabitkan empat kluster komuniti iaitu Kluster Kampung Binyu di Sarawak; Jalan Merdeka di Johor; Simpang Tiga Merotai di Sabah dan Jalan Kenanga di Melaka.

Tiga kluster tempat kerja turut dilaporkan iaitu Kluster Jalan Bandar Sembilan, Negeri Sembilan;  Kluster Teknologi Peramu Jaya, Pahang dan Kluster Jalan Kubota Sentral di Sabah.

Dr Noor Hisham berkata, 1,038 kluster tamat setakat ini termasuk 13 kluster pada hari ini. — Bernama