PM: Daftar vaksin masih rendah banding 26.7 juta pengguna MySejahtera

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya 7.6 juta penduduk Malaysia yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera. — Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya 7.6 juta penduduk Malaysia yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 3 April — Jumlah rakyat yang telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera masih rendah berbanding dengan keseluruhan rakyat dan bukan rakyat Malaysia yang layak menerima suntikan itu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata hingga semalam, hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

“Saya kira angka itu masih kecil. Pastinya ini penting untuk menentukan supaya tahap pencapaian kita untuk mengawal wabak Covid-19 dengan lebih berjaya dan dalam keadaan yang sama dapat kita revitalise ataupun memulihkan ekonomi negara kita dengan lebih pesat lagi.

“Ada hubung kait di antara pelaksanaan pelan vaksinasi dengan pemulihan ekonomi negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan programme ‘Blood Donation Drive 2021’, di sini hari ini.

Menurutnya, situasi Covid-19 yang sedang melanda negara dan dunia masih belum dapat diatasi sepenuhnya berikutan ada varian baharu yang ditemukan dalam komuniti. — Bernama