Cuba rasuah polis, lelaki didenda, penjara tujuh hari

Tertuduh dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. — Foto Istock
Tertuduh dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. — Foto Istock

KUALA TERENGGANU, 5 April — Gara-gara cuba memberi rasuah kepada seorang anggota polis agar tidak mengambil tindakan terhadapnya berkaitan kes dadah pada Februari lepas, seorang lelaki dihukum penjara selama tujuh hari dan didenda sebanyak RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Mohd Iskandar Mohd Zain, 41, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang didengar di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Dazuki memerintahkan Mohd Iskandar yang bekerja sendiri menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan dia berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didapati telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM2,300 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Sarjan Mejar Azizuddin Abd Kudus, yang bertugas di balai Polis Paka, Dungun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang disyaki sebagai orang yang dikehendaki kerana melakukan kesalahan lampau di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu dilakukan pada 21 Feb lepas di bilik Timbalan Ketua Polis Paka di Dungun.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Mohamad. — Bernama

Artikel Berkaitan