TKM Sarawak mengaku tanggal pelitup muka, sedia bayar kompaun

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memaklumkan beliau dihubungi polis susulan video melihatkannya dilihat tidak memakai pelitup muka. — Foto Borneo Post
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memaklumkan beliau dihubungi polis susulan video melihatkannya dilihat tidak memakai pelitup muka. — Foto Borneo Post

KUCHING, 8 April — Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memaklumkan beliau telah dihubungi pihak polis susulan video tular baru-baru ini yang beliau dilihat tidak memakai pelitup muka semasa mengadakan lawatan di Daerah Matu di Mukah pada 31 Mac lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu menjelaskan pada masa itu beliau telah pergi melawat gerai di kawasan itu dan telah membuka pelitup mukanya untuk mencuba makanan serta minuman yang dijual oleh peniaga di situ.

Katanya pada masa itu juga beliau dalam keadaan tergesa-gesa untuk pulang meninggalkan Matu.  

“Saya telah dihubungi oleh polis semalam dan dimaklumkan yang saya dikenakan kompaun. Saya mengakui kesalahan saya.

“Saya juga tidak perasan (tidak pakai pelitup muka) apabila diberitahu pegawai saya kita perlu cepat (pulang), saya tergesa-gesa. 

“Kalau saya dikompaun memang saya akan bayar kompaun itu,” katanya dalam ucapannya pada majlis perhimpunan khas Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular video yang menunjukkan Awang Tengah yang ketika itu sedang menyantuni peniaga-peniaga di gerai dilihat tidak memakai pelitup muka.

Sementara itu, Awang Tengah berkata industri perkayuan kini menghadapi pelbagai cabaran terutama dengan ketidaktentuan ekonomi global dan geopolitik semasa serta persaingan kuat daripada pengeluar lain seperti Indonesia, Vietnam dan China.

Beliau berkata di peringkat domestik, penurunan pengeluaran dari hutan semula jadi dan peningkatan kos pengeluaran di huluan telah mempengaruhi daya saing industri perkayuan tempatan.

“Eksport papan lapis Sarawak ke Jepun juga menurun dari RM2.11 bilion pada 2019 kepada RM1.97 bilion pada tahun 2020. Akibatnya kita kehilangan kedudukan kepada Indonesia, sebagai pembekal papan lapis nombor satu ke Jepun,” katanya. — Bernama

Artikel Berkaitan