PH kembali sepakat, namakan Anwar calon PM PRU15

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Pakatan Harapan. ― Foto oleh Hari Anggara
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Pakatan Harapan. ― Foto oleh Hari Anggara

KUALA LUMPUR, 9 April — Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), akan mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pakatan itu dan seterusnya diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Ketetapan itu diputuskan selepas Pemukiman PH selama dua hari yang berlangsung di Port Dickson bermula semalam.

“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh PH dalam mendepani PRU15 dan seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah negara dengan amanah, demokratik dan adil,” menurut PH dalam satu kenyataan hari ini.

Pemukiman yang dihadiri Anwar, selaku presiden PKR serta Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menyatakan pakatan itu mengambil pendirian terbuka berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat.

PH mengiktiraf potensi dan kepentingan Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu dalam memacu pembangunan negara.

“Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto,” menurut parti gabungan politik itu. — Bernama