DBKL larang beri gelandangan makan bulan Ramadan

DBKL mendapati banyak pihak yang mengagihkan makanan menimbulkan gangguan dan ketidakselesaan kepada pemilik premis. — Foto oleh Hari Anggara
DBKL mendapati banyak pihak yang mengagihkan makanan menimbulkan gangguan dan ketidakselesaan kepada pemilik premis. — Foto oleh Hari Anggara

KUALA LUMPUR, 10 April — Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu dilarang zwrmengagihkan sumbangan makanan kepada gelandangan secara terus di sekitar pusat bandar raya sepanjang bulan Ramadan. 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan kawal selia itu dilaksanakan bagi mengelak berlaku pembaziran dan kekotoran, selain mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, DBKL memaklumkan pengagihan makanan masih boleh diteruskan melalui dua pusat gelandangan iaitu di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tunku, selain satu pusat komuniti iaitu Pusat Pembelajaran Komuniti, Chow Kit.

“DBKL mendapati terdapat banyak pihak sama ada NGO, kumpulan atau individu yang mengagihkan makanan di lokasi-lokasi ‘hotspot’ gelandangan di pusat bandar antaranya sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Keadaan ini telah menimbulkan gangguan, ketidakselesaan kepada pemilik premis dan menunjukkan persepsi negatif masyarakat terhadap DBKL. Aktiviti pemberian makanan kelihatan tidak dapat dikawal terutama ketika bulan Ramadan,” menurut kenyatan itu.

Menurut DBKL orang ramai yang ingin menyumbang perlu menghubungi talian 03-2617 6321 terlebih dahulu bagi tujuan penjadualan agihan, dan mereka yang gagal mematuhi arahan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan. — Bernama