17 tahun bertahan, Loke kekal teraju DAP Negeri Sembilan

Anthony Loke kekal menerajui kepimpinan DAP Negeri Sembilan selepas menyandang jawatan itu selama 17 tahun. — Foto oleh Yusof Mat Isa
Anthony Loke kekal menerajui kepimpinan DAP Negeri Sembilan selepas menyandang jawatan itu selama 17 tahun. — Foto oleh Yusof Mat Isa

SEREMBAN, 12 April — Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook kekal menerajui kepimpinan DAP Negeri Sembilan menerusi pemilihan Jawatankuasa Negeri 2021 yang diadakan semasa Konvensyen DAP Negeri Sembilan ke-19 semalam.

Loke, yang telah menyandang jawatan itu selama 17 tahun sejak 2004, meraih undian tertinggi 501 undi.

Penyandang jawatan Timbalan Pengerusi dan Setiausaha juga kekal iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya P. Gunasekaran dan Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin.

Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan Arul Kumar, yang juga Adun Nilai, pula dilantik sebagai Setiausaha Organisasi DAP negeri.

Seramai 628 perwakilan parti itu hadir untuk memilih ahli jawatankuasa pimpinan negeri bagi penggal ke-19. Pemilihan diadakan tiga tahun sekali.

Terdahulu, konvensyen itu disempurnakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan negeri Datuk Seri Aminuddin Harun. — Bernama