Walau tersorok, harum nasi lemak ikan keli sampai ke KL (VIDEO)

Unik, popular dan enak, nasi lemak ikan keli Nayan di Lenggeng, Negeri Sembilan menarik pengunjung jauh kerana sejarah dan keasliannya. ― Foto oleh Helme Hanafi
Unik, popular dan enak, nasi lemak ikan keli Nayan di Lenggeng, Negeri Sembilan menarik pengunjung jauh kerana sejarah dan keasliannya. ― Foto oleh Helme Hanafi

LENGGENG, 19 Okt ― Terletak di Kampung Rawa di sini, Warung Nayan walau kecil dan terpencil tetapi cukup popular sehingga ke ibu kota hanya kerana nasi lemak unik ini.

Semata-mata nasi lemak dan sambal ikan keli, tidak ada sambal ikan bilis atau sambal sotong, atau kacang atau timun. Tidak, tidak. Ia amat sederhana dari segenap segi namun enak.

Dalam sebungkus nasi lemak Nayan, yang ada hanya ketulan kecil ikan keli yang dibuat sambal bersama nasi lemak yang wangi lagi harum kerana ia dibungkus dalam daun pisang.

Sangat sederhana tetapi warung ini yang sudah dibuka sejak 45 tahun lalu sering dijadikan rujukan pemburu makanan sebagai kedai unik kerana keasliannya.

Ketika kali pertama saya ke warung ini pada 2015, saya sendiri tidak percaya bahawa inilah warung yang menjadi buah mulut ramai kerana keenakan nasi lemaknya.

Sekali imbas kedai ini tiada bezanya dengan kedai kampung yang lain; ia kelihatan seperti tiada apa-apa yang istimewa. Tidak ada hiasan menarik, tiada pula susunan meja dan kerusi yang melimpah hingga ke kaki lima atau tepi jalan seperti kebanyakan kedai mamak. Kedai ini biasa-biasa sahaja.

Suasana di dalam warung nasi lemak Nayan yang ringkas dan bersih. Ia boleh memuatkan 50 hingga 60 pengunjung.  ― Foto oleh Helme Hanafi
Suasana di dalam warung nasi lemak Nayan yang ringkas dan bersih. Ia boleh memuatkan 50 hingga 60 pengunjung. ― Foto oleh Helme Hanafi

Malahan papan iklan pun kecil saja, kedudukannya betul-betul di tepi jalan kampung N30 (jika anda melihat peta Google). Ketika kami pertama kali ke sini, deretan kereta, basikal dan motor peminat nasi lemak unik ini menjadi satu-satunya petunjuk arah kami.

Sejak dibuka bapanya pada 1972, Madzlan Nayan mengekalkan menu yang sama iaitu nasi lemak sambal ikan keli atau pulut yang dimakan bersama sambal ikan keli.

Menurut cerita, Nayan peniaga pertama yang menjual nasi lemak dengan sambal ikan keli ketika itu. Dek populariti juadah uniknya itu, nasi lemak sambal ikan keli kini menjadi sarapan pagi yang biasa di kawasan Lenggeng, Pajam sehingga ke Mantin.

Walau makin banyak warung atau kedai makan yang menjual menu sama tapi tiada sesiapa boleh melawan sejarah dan keaslian nasi lemak ikan keli Nayan sebagai perintis.

Kerana itu warung Nayan menjadi lokasi kegemaran mereka yang bermotosikal atau juga kumpulan kayuh basikal berhenti bersarapan. Ia boleh memuatkan kira-kira 50 orang pada satu-satu masa.

Nasi lemak sambal ikan keli warung Nayan. Ringkas tetapi sambal ini enak.  ― Foto oleh Helme Hanafi
Nasi lemak sambal ikan keli warung Nayan. Ringkas tetapi sambal ini enak. ― Foto oleh Helme Hanafi

Bukan saja sedap, bahkan harganya sangat murah. Sebungkus nasi lemak ikan keli hanya RM1.30 sen. Biasanya, pelanggan akan makan, lebih daripada satu bungkus!

Untuk pelanggan yang tiba ketika waktu puncak, anda akan diberikan nombor giliran. Anda akan ditanya berapa bungkus pesanan anda. Selepas itu, pelayan akan ke dapur.

Nasi akan dibungkus pada ketika itu juga, diletakkan di dalam bakul plastik bersama nombor giliran anda. Tidak lama kemudian akan sampai di meja nasi lemak panas.

Untuk anda yang pertama kali ke warung ini, saya sarankan elok sampai sebelum jam 8 pagi kerana ketika itu orang masih belum ramai lagi supaya anda boleh makan dengan santai.

Apa lagi yang menarik di sini? Bagi saya, keaslian juadahnya. Ikan keli dalam sambal itu pula tidak terasa hanyir seperti sesetengah kedai yang menjual menu ikan keli.

Ia dipotong kecil-kecil dan terasa lemak manis apabila digoreng bersama sambal. Sambalnya pula tidaklah terlalu pedas, seperti masakan Negeri Sembilan, cukup asam dan gulanya.

Sebab itu warung ini turut menggamit pengunjung-pengunjung Cina dan India yang biasanya makan di situ dan,  malah, membawa pulang berbungkus-bungkus nasi lemak.

Bagi yang ingin mencuba nasi lemak Nayan, anda hanya boleh datang pada hujung minggu. Warung ini tidak dibuka setiap hari. Ia dibuka pada pagi Sabtu dan Ahad sahaja, antara jam 6.30 pagi sehingga 10 pagi.

Ingat! Datang awal. Jika dari Kuala Lumpur, anda boleh keluar di plaza tol Nilai dan cari jalan menghala ke pekan Pajam, kemudian ke arah Lenggeng dan Kampung Rawa.

Anda boleh saja mengguna aplikasi Waze atau cari di Google Map: Kampung Rawa, Lenggeng, Negeri Sembilan.

Perhatikan betul-betul, dari sebatang jalan kampung yang lengang tiba-tiba dipenuhi kereta, motosikal dan basikal. Itulah tempatnya. Satu lagi tandanya, ia berdekatan balai raya Kampung Rawa.

Jadi, jika anda mahu suasana kampung dalam keadaan santai bersama keluarga atau rakan-rakan, marilah ke warung Nayan di Kampung Rawa.

Cubalah, hujung minggu ini.

Penulis (kiri) berjalan di depan warung kecil Nayan di tepi jalan kecil Kampung Rawa di Lenggeng dalam kunjungan hujung minggu lepas. ― Foto oleh Helme Hanafi
Penulis (kiri) berjalan di depan warung kecil Nayan di tepi jalan kecil Kampung Rawa di Lenggeng dalam kunjungan hujung minggu lepas. ― Foto oleh Helme Hanafi

** Helme Hanafi, seorang wartawan portal Agenda Daily, baru menerbitkan buku catatan kembara, budaya, sejarah dan makanan di selatan tanah air, Jalan Lain ke Selatan.

Artikel Berkaitan