RM30 sekilo, nangka Lanchang sampai London

Yussof Buyamin (dua, kiri) bersama-sama memasukkan nangka ke dalam lori untuk dieksport ke England di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang, hari ini. — Foto Bernama
Yussof Buyamin (dua, kiri) bersama-sama memasukkan nangka ke dalam lori untuk dieksport ke England di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang, hari ini. — Foto Bernama

TEMERLOH, 15 Julai — Kemanisan dan tekstur rangup nangka keluaran sebuah ladang di Lanchang di sini, berjaya menembusi pasaran Kota London sejak dua tahun lalu.

Hasil tani oleh usahawan Yussof Buyamin yang juga pemilik Syarikat Dimensi Sejahtera Sdn Bhd itu, dihantar ke beberapa pasar raya di London, dengan menggunakan kargo udara setiap minggu.

Katanya, projek penanaman nangka di kawasan seluas 40 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di sini bermula kira-kira 11 tahun lalu, sebelum ‘menerokai’ pasaran London pada 2017.

“Kriteria nangka yang dieksport dijaga dengan begitu teliti. Hanya nangka terbaik daripada segi saiz, kerangupan, kemanisan dan ketahanannya yang layak untuk dieksport bagi menjaga kualiti.

“Setiap minggu, syarikat yang menguruskan hal eksport datang ke ladang membeli buah dengan jumlah kira-kira 20 tan metrik sebulan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Dari Lanchang ke London di TKPM di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak dan turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian negeri Datuk Zahimi Hassan.

Yussof berkata untuk pasaran eksport nangka itu dijual pada harga RM3.50 sekilogram dan beliau difahamkan, harganya akan melonjak kira-kira RM30 sekilogram di London.

Manakala bagi pasaran tempatan, buah itu dijual RM2.50 sekilogram dan beliau boleh memperoleh pendapatan bulanan antara RM70,000 hingga RM90,000, bergantung kepada jumlah pengeluaran dan permintaan.

“Permintaan agak berkurangan sedikit pada Mei hingga Julai, kerana nangka perlu bersaing dengan buah bermusim seperti durian, mangga harum manis dan rambutan.

“Untuk tanaman nangka, faktor terpenting ialah pengairan kerana jika kemarau atau kurang air, buah berisiko untuk bantut,” katanya yang mempunyai 5,000 batang pokok nangka.

Sementara itu, Mohd Soffi berkata kerajaan negeri akan memberi sokongan dan bantuan kepada pengusaha nangka lain yang mahu menerokai pasaran luar, kerana potensi besar produk tani itu.

Beliau berkata setakat ini, terdapat 46 pengusaha individu dan 40 syarikat menanam nangka di TKPM, namun hanya satu yang berjaya menembusi pasaran Eropah. — Bernama