Food Fiesta hidang makanan tular Shah Alam

Sushi Tempatan Style antara gerai yang akan memeriahkan Food Fiesta @ PKNS BizPoint hujung minggu ini. — Foto ihsan Instagram
Sushi Tempatan Style antara gerai yang akan memeriahkan Food Fiesta @ PKNS BizPoint hujung minggu ini. — Foto ihsan Instagram

SHAH ALAM, 18 Julai — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal menganjurkan program Food Fiesta @ PKNS BizPoint pada 20 dan 21 Julai ini bermula 10 pagi hingga 10 malam bertempat di Bangunan PKNS BizPoint, Seksyen 7, Shah Alam.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS Ishak Hashim berkata, Food Fiesta @ PKNS BizPoint merupakan program kerjasama antara Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS dan Sekretariat Projek Seringgit.

“Projek Seringgit adalah sebuah organisasi yang mula beroperasi pada Mei 2019 bertujuan mengumpul pakaian terpakai yang masih dalam keadaan baik untuk dijual semula pada harga serendah RM1.

“Menariknya, program ini menawarkan pelbagai makanan viral di sekitar Shah Alam yang pastinya mempunyai penggemarnya yang tersendiri antaranya Jeruk Leleh, Bomboloni, Ayaq Mangga Bonda, Sushi Tempatan Style, Durian Crepe, Kek Batik Viral, NZCrunchies dan banyak lagi.

“PKNS optimis program seumpama ini menjadi platform terbaik  kepada peniaga makanan viral di sekitar Shah Alam mempromosikan produk jualan mereka,” katanya.

Individu yang berminat untuk menderma pakaian terpakai yang masih dalam keadaan baik boleh diserahkan kepada pasukan Projek Seringgit atau dalam masa yang sama boleh membeli pakaian yang dijual oleh mereka.

Kepada yang berhajat untuk menyumbang pakaian boleh menghubungi pasukan Projek Seringgit di talian 03-5511 1727.

Hasil pendapatan daripada projek ini akan disalurkan kepada badan kebajikan yang terpilih antaranya Pertubuhan Kebajikan Nur Hati dan Rumah Anak Yatim Nur Qaseh.

Ishak berkata, dengan adanya program seperti ini, PKNS dapat mempromosikan bangunan PKNS Bizpoint sebagai hub aktiviti keusahawanan dan juga dapat menyebar luas kemudahan ruang acara yang ditawarkan.

“Kami yakin, program yang dianjurkan ini juga sebagai tanda sokongan PKNS terhadap program CSR yang dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan yang memerlukan dengan jualan pakaian serendah RM1.

“Sekaligus dapat memberi peluang kepada usahawan dalam bidang makanan dan minuman untuk memberikan pendedahan perniagaan secara terus berbanding di atas talian,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program Food Fiesta @ PKNS BizPoint hujung minggu ini dan mendapatkan pelbagai makanan tular menanti anda! — Bernama

 

Artikel Berkaitan