Nasi lemak, roti canai garing sarapan kegemaran Al-Sultan Abdullah

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dikatakan gemar bersarapan nasi lemak, roti canai dan telur separuh masak setiap kali mencemar duli ke restoran D'Wafi. ― Foto oleh Firdaus Latif
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dikatakan gemar bersarapan nasi lemak, roti canai dan telur separuh masak setiap kali mencemar duli ke restoran D'Wafi. ― Foto oleh Firdaus Latif

SHAH ALAM, 30 Julai — “Kami dah tahu menu apa yang diinginkan bila baginda ke sini. Roti canai garing, nasi lemak dan dua biji telur separuh masak.”

Demikian pendedahan pemilik restoran D'Wafi yang berkongsi menu pilihan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setiap kali bersarapan di restoran itu selepas selesai menunaikan solat Subuh.

Jelas Rosnida Che Soh, beliau amat terkejut dengan kehadiran baginda yang datang bersarapan di premisnya buat pertama kali pada 23 November 2017 kerana tidak membuat sebarang persiapan, lapor Sinar Harian.

“Lama-kelamaan baru kami tahu baginda sebenarnya tidak mengikut protokol di tempat-tempat tertentu,” katanya yang menyifatkan baginda “amat ringkas orangnya.”

Menceritakan detik pertama baginda ke restoran itu, Rosnida berkata Tuanku tidak minta disediakan meja makan khas tetapi duduk di meja biasa bersama ahli kariah Masjid Imam Ash Shafie. 

Namun, wanita berusia 44 tahun tetap mengambil inisiatif menyediakan meja khas bersama alas meja kuning sebagai menghormati baginda selaku tetamu eksklusif restorannya.

Baginda akan bersarapan di situ sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu selama sejam bermula 6.45 pagi bersama anggota kariah dan beberapa pegawai istana.

“Bila baginda datang secara automatik kedai saya akan diserbu rakyat jelata yang ingin melihat Sultan Pahang lebih dekat,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan