Penat berlari, 300 peserta makan durian percuma

Penolong Pegawai Ekonomi Fama negeri Sahela Mat Jelan menunjukkan Durian Lima Jari antara yang menarik pengunjung ke gerai jualan yang dibuka di Dataran Pahlawan hari ini. — Foto Bernama
Penolong Pegawai Ekonomi Fama negeri Sahela Mat Jelan menunjukkan Durian Lima Jari antara yang menarik pengunjung ke gerai jualan yang dibuka di Dataran Pahlawan hari ini. — Foto Bernama

MELAKA, 3 Ogos — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Melaka menyediakan sebanyak kira-kira 300 biji durian untuk peserta-peserta terawal yang berjaya menamatkan Larian Merdeka@Melaka sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir hari ini.

Pengarah Fama Melaka, Che Samudin Hassan berkata peserta akan menerima durian kampung pada garisan penamat hari ini sebagai usaha agensi terbabit dalam mempromosi kempen makan buah-buahan tempatan.

“Musim durian ini kebiasaannya hanya berlaku dua kali setahun antara Jun hingga Ogos dan penghujung tahun, kita bagi seorang sebiji durian ini juga sebagai meraikan musim raja buah kerana buah ini ia tidak seperti buah-buahan lain yang ada sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Che Samudin berkata durian mempunyai kandungan karbohidrat yang sesuai untuk dimakan peserta untuk menggantikan tenaga yang banyak dikeluarkan mereka ketika larian.

Larian sejauh lima kilometer itu bermula di hadapan Dataran Pahlawan di Jalan Merdeka bermula 7.45 pagi dan peserta turut digalakkan membawa keluarga mereka sebagai antara usaha menjayakan konsep “Sukan Wahana Kekeluargaan”.

Pemenang tempat pertama hingga ketiga acara larian itu memenangi tiga biji durian setiap seorang manakala 297 pemenang seterusnya mendapat sebiji durian setiap seorang yang ditaja Fama.

Sementara itu, pemenang pertama acara “fun run” itu, Muhammad Azail Junaidi, 22, berkata hadiah buah durian yang diterima adalah unik kerana sepanjang penglibatannya dalam pelbagai acara sukan atau larian, tidak pernah menerima “pingat” berupa “raja buah” itu.

“Mulanya saya terkejut apabila diberikan sebungkus beg kain yang mengandungi tiga biji durian sebaik tiba di garisan penamat namun pada masa sama teruja kerana saya belum pernah makan buah durian dan ini kali pertama akan cuba,” kata anggota tentera daripada Stesen Bomba Tentera Darat Kem Terendak di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas larian yang disempurnakan pelepasannya oleh Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee dan turut dihadiri Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Roselindawati Abdul Rahman.

Pelajar Diploma Geometik tahun dua Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Merlimau di sini, Muhammad Nazafie Jefidin, 19, yang mendapat tempat ketiga dalam larian itu berkata walaupun hadiah buah durian yang diterima disifatkan sebagai pelik namun beliau gembira kerana dapat menamatkan acara itu dan muncul pemenang.

“Agak pelik dapat buah durian sebab biasanya kalau di podium, pemenang akan dapat medal atau wang tunai tapi kali ini lain pula.

“Apa pun saya tak kisah tentang hadiah sebab diberitahu ini acara 'fun run' dan suka-suka untuk meriahkan sambutan Larian Merdeka@Melaka,” katanya yang berasal dari Ayer Hitam, Johor.

Sementara itu, Kerk berkata acara larian berkenaan disertai kira-kira 2,254 peserta dari dalam dan luar Melaka melibatkan pelbagai peringkat umur dan kaum bermula di Jalan Merdeka dan melalui Memorial Kemerdekaan dan Stadthuys.

Beliau berkata penganjuran acara itu bukan sahaja untuk menggalakkan penyertaan orang awam dalam sambutan bulan kebangsaan tetapi juga menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup sihat demi kesihatan yang lebih baik.

“Sekarang kita nampak ramai orang lebih mementing kerja sehingga ada yang 'stress' hingga mengabaikan kesihatan mereka. Jadi acara ini saya lihat satu pendekatan untuk kita libatkan orang awam dalam sambutan bulan kebangsaan.

“Sasaran kita sebenarnya 2,000 orang tetapi hari ini kita lihat ia telah melebihi sasaran ada pelajar sekolah, belia dan keluarga,” katanya. — Bernama